Seminar Pembangunan Komuniti ASEAN dan Hubungan China-ASEAN anjuran Misi Republik Rakyat China ke ASEAN, surat khabar Mingguan Beijing dan Kumpulan Pemikir Pangoal telah diadakan di Beijing semalam.
Ketika menyampaikan ucapan, Timbalan Ketua Setiausaha ASEAN, AKP Mochtan menyatakan bahawa beliau berkeyakinan penuh terhadap kerjasama dan kemakmuran bersama ASEAN-China.
Menurut beliau, Wawasan 2025 Komuniti ASEAN selaras dengan "Impian China" manakala kesalinghubungan antara negara-negara ASEAN pula selari dengan inisiatif Jalur dan Laluan (B&R). Semua strategi tersebut merupakan laluan untuk mewujudkan kemakmuran bersama.
Pengarah Kehormat Jawatankuasa Keilmuan Kumpulan Pemikir Pangoal yang juga bekas Naib Ketua Pengarah Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Yu Hongjun ketika berucap pada seminar itu berkata, inisiatif B&R bukan sahaja bermanfaat untuk meningkatkan tahap keterbukaan China dan penglibatan negara ini dalam globalisasi ekonomi, malah membawa kebaikan kepada pelbagai negara yang terlibat dengan B&R termasuk negara-negara ASEAN untuk mencapai pembangunan bersama dan situasi menang-menang.
Beliau menegaskan, perkongsian strategik, kerjasama pragmatik, persahabatan dan hubungan jiran yang baik antara China dengan ASEAN pasti akan mencipta masa depan yang lebih cerah dan dinamik.