Tentera Iraq diyakini dapat menawan kembali Mosul, pangkalan pertubuhan ekstremis Negara Islam (IS) di Iraq dalam masa terdekat ini.
Demikian dinyatakan oleh jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Ryan Dillon semalam.
Menurutnya, pasukan tentera Iraq telah berjaya menawan kembali Masjid al-Nuri di Mosul pagi semalam. Mosul dijangka akan kembali ke tangan tentera Iraq dalam masa beberapa hari akan datang.
Masjid al-Nuri yang dibina pada 1172 antara mercu tanda utama di Mosul. Masjid itu merupakan tempat ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi mengumumkan penubuhan IS pada 2014.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi menyatakan bahawa kejayaan tentera Iraq menawan semula masjid al-Nuri menandakan hari-hari terakhir IS di Iraq hampir tiba. Pihaknya akan meneruskan perjuangan membanteras pengganas sehingga ke akar umbinya.