Jawatankuasa Persahabatan, Kedamaian dan Pembangunan China-Rusia mengadakan mesyuarat meja bulat ke-4 majlis media yang bertemakan "trend pembangunan dan cabaran media baharu mudah alih" di Moscow kelmarin.
Para peserta bertukar-tukar pandangan dan mencapai persepakatan mengenai penggunaan teknologi baharu dalam kerjasama berkenaan.
Pengerusi jawatankuasa tersebut bagi pihak China, Dai Bingguo menyampaikan penghargaan atas usaha majlis media bagi menggalakkan perkembangan hubungan China-Rusia sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa media selaku penyampai suara rakyat, berperanan penting bagi menggalakkan perkembangan sihat perkongsian kerjasama strategik komprehensif serta memelihara kedamaian dan kestabilan global.
Pengerusi majlis media pihak China, Presiden Radio Antarabangsa China (CRI), Wang Gengnian menyatakan bahawa media patut berpegang kepada prinsip objektif dan adil, memajukan media baharu dan bekerjasama untuk membentuk komuniti media yang terbuka lagi inklusif.
Pengerusi majlis media pihak Rusia, Presiden agensi berita RT, Dmitry Kiselev memuji pencapaian China dalam bidang media baharu mudah alih, sambil menyatakan hasrat RT untuk meningkatkan kerjasama bagi membina platform media yang cekap dan menginovasi kaedah penyiaran.
Mesyuarat meja bulat anjuran Jawatankuasa Persahabatan, Kedamaian dan Pembangunan China-Rusia dengan kerjasama CRI dan RT itu diadakan dua kali setahun, secara bergilir-gilir di China dan Rusia.