Cari:
Xi, Trump Bincang Hubungan Bilateral
2017-07-09 16:07:58 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump membincangkan hubungan dua hala serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama, dalam pertemuan selepas Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Hamburg semalam.

Xi menyatakan bahawa sejak pertemuan di Mar-a-Lago, kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang telah menampakkan kemajuan baharu.

Kedua-dua pihak perlu terus berpegang kepada prinsip saling menghormati dan saling menguntungkan, memperluas kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, meningkatkan penyelarasan dalam isu-isu antarabangsa dan serantau untuk mendorong hubungan China-AS berkembang sihat dan stabil.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak perlu menghormati kepentingan dan keprihatinan utama satu sama lain, serta menangani perselisihan pendapat dan isu sensitif secara baik.

Trump menyatakan bahawa kini hubungan AS-China berkembang baik. China merupakan rakan dagang utama AS, dan juga negara yang mempunyai pengaruh penting dalam hal ehwal antarabangsa.

AS bersedia memperluas dialog dan kerjasama yang saling menguntungkan dengan China, dan mengekalkan penyelarasan dengan China dalam isu-isu penting antarabangsa dan serantau.

Berhubung isu nuklear Semenanjung Korea, Xi menegaskan bahawa China tetap komited menggalakkan pewujudan Semenanjung Korea yang bebas nuklear dan penyelesaian isu berkenaan melalui dialog.

Beliau turut menekankan semula pendirian China yang menentang penempatan sistem Pertahanan Kawasan Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Korea Selatan.

Kedua-dua pemimpin bersetuju mengekalkan komunikasi dan penyelarasan dalam isu nuklear Semenanjung Korea.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China