Cari:
Wimbledon: Federer, Murray Mara ke Suku Akhir
2017-07-11 11:16:47 CRI Cetak

Rafael Nadal yang merupakan pilihan keempat kejohanan gagal untuk mengejar mahkota ketiga Wimbledon apabila tewas 6-3, 6-4, 3-6, 4-6, 15-13 kepada pemain Luxembourg, Gilles Muller di pusingan keempat.

Pemain Sepanyol itu, bertarung selepas ketinggalan dua set dan menyelamatkan empat mata penamat dalam pertarungan lima set selama 135 minit tetapi akhirnya mengalah selepas tekanan berterusan diberikan Muller.

Bagaimanapun nasib berbeza buat pilihan utama, Andy Murray dan pilihan ketiga, Roger Federer apabila kedua-duanya mara ke suku akhir dengan kemenangan straight set, manakala naib juara tahun lalu, Milos Raonic dipaksa bekerja keras oleh pemain Jerman, Alexander Zverev sebelum menang 4-6, 7-5, 4-6, 7-5, 6-1.

Pemain dengan servis kencang Republik Czech, Tomas Berdych juga dipaksa beraksi hingga lima set oleh pemain Austria, Dominic Thiem dan akan menanti sama ada Novak Djokovic atau pemain Perancis, Adrian Mannarino di suku akhir.

Sementara itu dalam saingan wanita, Johanna Konta menewaskan Caroline Garcia dari Perancis 7-6(3), 4-6, 6-4 untuk bergelar wanita British pertama mara ke suku akhir Wimbledon sejak Jo Durie pada 1984.

Kesedihan melanda pilihan utama wanita, Angelique Kerber, yang disingkirkan pemain Sepanyol, Garbine Muguruza, manakala pemain Latvia, Jelena Ostapenko mengatasi Elina Svitolina untuk mara ke suku akhir buat kali pertama.

Pemain Denmark, Caroline Wozniacki, pilihan kelima tahun ini tersingkir di tangan pemain pilihan ke-24 Amerika Syarikat Coco Vandeweghe, manakala pemain Russia, Svetlana Kuznetsova kembali ke suku akhir selepas 10 tahun apabila menewaskan pemain Poland yang juga pilihan kesembilan Agnieszka Radwanska.

Pemain berpengalaman, Venus Williams mengatasi pemain Croatia, Ana Konjuh 6-3 6-2, namun harapan Victoria Azarenka untuk melakukan kebangkitan semula gagal apabila tewas kepada pilihan kedua, Simona Halep 7-6(3) 6-2.

sumber: Utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China