Kerjasama BRICS yang lebih kukuh bukan sahaja dapat melindungi dan memperluas kepentingan bersama lima negara anggotanya, malah membantu meneroka jalan untuk membina hubungan antarabangsa model baharu.
Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuan dengan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Nikolai Patrushev, Menteri Keselamatan Afrika Selatan, David Mahlobo, Setiausaha Keselamatan Brazil, Sergio Etchegoyen dan Penasihat Keselamatan India, Ajit Doval yang berada di Beijing untuk menghadiri mesyuarat ke-7 wakil peringkat tinggi hal ehwal keselamatan BRICS.
Xi menyifatkan mesyuarat tersebut amat berjaya kerana telah membuat persiapan penting untuk sidang kemuncak BRICS di Xiamen nanti.
Beliau menyatakan bahawa kerjasama BRICS yang mempunyai sejarah selama 10 tahun, telah melangkaui sempadan geografi, mengatasi perbezaan dari segi laluan pembangunan dan institusi sosial, sekali gus memperlihatkan inspirasi lima negara untuk menggalakkan kestabilan dan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Berdepan situasi semasa, negara-negara berkenaan perlu memperkasakan kerjasama ekonomi, pertukaran sosiobudaya serta komunikasi dan penyelarasan keselamatan demi mencipta prospek lebih luas bagi kerjasama BRICS.
Para wakil asing bersependapat bahawa BRICS perlu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk menangani pelbagai cabaran ekonomi dan keselamatan seperti trend anti-globalisasi dan keganasan, di samping meningkatkan lagi pengaruh BRICS dalam hal ehwal global.
Mereka juga bersedia mempererat kerjasama dengan China bagi memastikan sidang kemuncak BRICS di Xiamen diadakan dengan jayanya.