Perdagangan luar China berkembang pesat pada setengah pertama tahun ini. Jumlah import eksport meningkat 19.6%, dengan mencatat RMB13.14 trilion (RM8.4 trilion), sekali gus mengubah momentum menurun yang dilihat dua tahun lalu.
Dalam tempoh yang sama, perdagangan antara China dengan negara-negara terlibat dalam inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) meningkat ketara. Jumlah import eksport dengan ASEAN naik 21.9%, manakala India 30.4% dan Rusia 33.1%.
Dalam sidang media Pejabat Penerangan Dewan Negara semalam, Naib Menteri Perdagangan, Qian Keming menerangkan bahawa saingan untuk menarik pelaburan asing amat sengit.
Menurut beliau, pihaknya telah melaksanakan saranan Dewan Negara untuk mempermudah akses bagi pelabur asing sambil menggunakan pelaburan asing dengan berkesan. Selain itu, suasana perniagaan akan terus dioptimumkan bagi menjamin kestabilan skala penggunaan pelaburan asing, iaitu pada RMB441.5 bilion (RM281 bilion).
Naib Ketua Pusat Penyelidikan Pembangunan Dewan Negara, Long Guoqiang pula menegaskan bahawa China akan membina suasana perniagaan bertaraf dunia yang berorientasikan pasaran dengan jaminan perundangan.
Katanya, China akan terus membuka pintu untuk kemasukan pedagang asing di samping mendorong pembangunan B&R serta rundingan pembinaan zon perdagangan bebas dan perjanjian pelaburan dua hala.