Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) sebulat suara meluluskan resolusi 2371 untuk mengenakan sekatan lebih ketat terhadap Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) susulan dua ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dilakukan Pyongyang bulan lalu.
Resolusi yang digubal Amerika Syarikat itu dijangka akan menyebabkan pendapatan eksport DPRK susut sekurang-kurangnya USD1 bilion setahun, iaitu kira-kira sepertiga pendapatan eksport tahunan negara itu.
Sekatan baharu tersebut juga menghalang beberapa negara daripada menerima buruh dari DPRK.
Resolusi itu mengecam ujian ICBM Pyongyang, sambil menggesa DPRK menggantung semua program senjata nuklear dan peluru berpandu serta senjata pemusnah besar-besaran.
Resolusi itu turut menegaskan sokongan terhadap pemulihan rundingan enam pihak serta penyelesaian secara damai untuk mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas daripada nuklear.