Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma yang berada di Xiamen untuk menghadiri pertemuan ke-9 pemimpin negara-negara BRICS, hari ini.
Xi menyatakan bahawa hubungan China-Afrika Selatan berkembang baik, manakala kerjasama pragmatik terus meningkat. China bersedia berusaha bersama-sama Afrika Selatan melaksanakan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) serta hasil Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (CACF) di Johannesburg, memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang, sekali gus melonjakkan hubungan bilateral ke tahap baharu.
Kedua-dua pihak perlu saling memahami dan saling menyokong dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan teras serta menjadi perhatian satu sama lain, memperkukuh kesalingpercayaan politik, di samping memperkasakan kerjasama dalam bidang ekonomi maritim, kapasiti pengeluaran, kebudayaan, sains dan teknologi, kesihatan, pelancongan dan lain-lain.
Kedua-dua pihak juga perlu meningkatkan penyelarasan dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa dan serantau, termasuk BRICS, Kumpulan 20 (G20) dan Kesatuan Afrika (AU).
China dan Afrika Selatan sentiasa mengekalkan kerjasama yang rapat dalam rangka BRICS.
China akan terus meningkatkan penyelarasan dengan Afrika Selatan, yang mengambil alih jawatan pengerusi bergilir BRICS pada tahun depan.
Presiden Xi menegaskan bahawa China dan Afrika merupakan komuniti berkongsi nasib dan kepentingan yang saling menguntungkan, sambil menyatakan walau apa pun perubahan yang berlaku pada situasi antarabangsa, tekad China untuk mewujudkan pembangunan bersama dengan Afrika tidak akan goyang.
Zuma menyifatkan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara kukuh dan dinamik. Rangka kerjasama strategik kedua-dua negara dilaksanakan dengan lancar, manakala mekanisme kerjasama bilateral membuahkan hasil menggalakkan dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, infrastruktur dan sosiobudaya.
Afrika Selatan bersedia memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan dengan China, dan saling menyokong demi menjayakan pertemuan pemimpin BRICS tahun ini dan tahun depan.