Cari:
Warga Britain Paling Tertekan
2017-09-14 10:31:43 CRI Cetak

Rakyat Britain muncul sebagai penduduk negara maju yang paling tertekan kerana bergelut dengan masalah seperti ketidakpuasan hati di tempat kerja.

Mail Online melaporkan, berdasarkan satu ranking antara­bang­sa baharu, kebanyakan lelaki dan wanita Britain mendakwa mereka menderita akibat keadaan yang melemahkan itu berbanding negara-negara lain.

Berdasarkan data dari Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Bri­tain berada di kedudukan ketujuh berbanding 25 negara lain dengan golongan dewasa mela­porkan me­reka mengalami kemurungan atau tertekan lebih banyak berbanding negara maju lain termasuk Poland, Itali, Greece dan Slovakia.

Selain itu, data terbabit me­nun­­jukkan wanita lebih cende­rung untuk melaporkan kemurungan yang dialami mereka berbanding lelaki, trend yang turut berlaku di negara-negara lain.

Tahap kemurungan turut berbeza-beza mengikut tahap pendidikan individu dengan mereka yang mengikuti pengajian tinggi melaporkan mereka mengalami keadaan itu pada kadar yang lebih rendah berbanding golongan dewasa yang menamatkan pengajian ketika berusia 16 tahun.

OECD dilapor menganalisis da­ta untuk individu berusia 25 hingga 64 tahun daripada hasil tinjauan temu duga kesihatan Ero­pah dan pelbagai tinjauan kebangsaan lain di seluruh dunia.

Agensi itu mendapati 10 peratus peringkat umur kumpulan itu di Britain menderita akibat kemurungan pada 2014, dua peratus melebihi kadar purata bagi negara-negara lain.

Hanya empat peratus individu di Republik Czech, Greece, Poland, Itali dan Slovakia melaporkan mengalami kemurungan.

Negara yang mempunyai tahap kemurungan tertinggi adalah Iceland pada kadar 14 peratus.

Di Britain, kadar kemurungan adalah antara 15 peratus bagi mereka yang meninggalkan sekolah hingga tujuh peratus untuk orang dewasa yang berpendidikan peringkat universiti.

Sebelas peratus wanita di Bri­tain melaporkan mengalami ke­mu­­ru­ngan berbanding lapan peratus lelaki.

Pengarah Pendudukan dan Kemahiran OECD, Andreas Schleicher pula berkata, terdapat sebab yang baik untuk mempercayai bahawa pendidikan mempunyai kesan langsung terhadap tahap kemurungan yang dilaporkan.

"Risiko pengecualian sosial adalah lebih tinggi bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran.

"Saya percaya terdapat kesan langsung namun masih banyak kesan tidak langsung seperti jenis pekerjaan yang anda dapat dan jenis interaksi yang anda miliki," katanya.

sumber: Utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China