Dalam satu perbualan telefon, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Britain, Theresa May telah berbincang mengenai hubungan dua hala dan situasi semasa di Semenanjung Korea.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik China-Britain di peringkat duta besar.
Xi menyatakan bahawa kedua-dua pihak patut mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, menggalakkan dialog dalam pelbagai bidang, merancakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pertukaran sosiobudaya, di samping menyelaraskan strategi pembangunan masing-masing dalam rangka inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R).
Britain dan Kesatuan Eropah (EU) yang makmur, stabil dan terbuka sesuai dengan kepentingan semua. China bersedia mengukuhkan hubungan dengan Britain dan EU.
May yang menyahut positif saranan Presiden Xi tersebut, turut menyatakan bahawa Britain mementingkan hubungan dengan China, dan akan berpegang pada hala tuju hubungan bilateral untuk mencipta "zaman keemasan".
Menyentuh situasi di Semenanjung Korea, Xi menegaskan bahawa China komited menggalakkan pewujudan semenanjung yang bebas senjata nuklear, mencegah percambahan senjata nuklear, serta menjaga kedamaian dan kestabilan di Asia Timur Laut.
Isu Semenanjung Korea perlu diselesaikan secara damai termasuk dialog, yang memerlukan usaha bersama masyarakat antarabangsa.
May pula menyatakan bahawa Britain menghargai peranan dan usaha China dalam isu tersebut, dan bersedia meningkatkan komunikasi dan penyelarasan dengannya.








