Cari:
Menghidupkan OBOR Budaya Dalam Inisiatif OBOR Ekonomi (1)
2017-10-17 17:50:33 CRI Cetak

oleh Awang Sariyan
Penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BSFU)

Sejak pelaksanaan dasar terbuka Republik Rakyat China yang bermula pada tahun 1980-an atas inisiatif Presiden Deng Ziao Peng, negara itu terus mencapai kemajuan yang ketara dalam semua bidang, baik hubungan diplomatik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan industri. Ramalan bahawa China akan menjadi kuasa pertama ekonomi dunia kian tampak akan menjadi kenyataan apabila kuasa ekonomi Barat, termasuk Amerika Syarikat telah mengadakan pelbagai inisiatif yang menunjukkan pengiktirafan kepada China, termasuk pemberian visa 10 tahun kepada rakyat China yang ingin melawat ke negara itu.

Inisiatif terbaharu negara China ialah Inisiatif Laluan Sutera oleh Presiden Xi Jinping pada tahun 2013. Inisiatif itu terdiri daripada dua bahagian, iaitu Jalur Laluan Sutera Ekonomi dan Laluan Sutera Samudera Abad 21. Kedua-duanya itu terangkum dalam istilah yang dikenal sebagai Satu Jalur Satu Laluan (One Belt One Road) atau singkatannya OBOR. Inisiatif itu berfokus pada dua aspek. Yang pertama ialah penstrukturan semula ekonomi dalam negara yang melibatkan penyaluran lebihan modal dan keluaran negara ke negara asing. Yang kedua pula ialah bantuan pembangunan prasarana kepada 64 buah negara yang terlibat dalam Inisiatif OBOR di Asia Tenggara (termasuk Malaysia), Asia Barat, Asia Selatan, Atlantik dan Eropah.

Antara projek mega yang dicadangkan dan sebahagiannya telah dimulakan bagi wilayah Asia Tenggara termasuklah Taman Industri Malaysia-China, Kuantan (MCKIP), Pintu Masuk Melaka, Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Terminal Bersepadu Perikanan Kedah (KIFT), Projek Landasan Kereta Api China-Thailand dan projek pembangunan di Bitung, Sulawesi, Indonesia. Jelas bahawa Malaysia menjadi negara Asia Tenggara yang diberi perhatian utama oleh China.

Kenyataan yang tampaknya dilupakan atau kurang difahami oleh sesetengah pihak, termasuk pengendali pelbagai projek dalam Inisiatif OBOR di negara kita ialah bahawa OBOR bukan hanya program ekonomi. Dalam pengumuman awal Presiden Xi Jinping, dengan jelas disebut bahawa OBOR turut melibatkan program kebudayaan, pendidikan dan agama. Oleh sebab itu semua negara yang terlibat dalam Inisiatif OBOR perlu memahami dan melaksanakan projek yang berkaitan dalam skop yang luas dan tidak terbatas pada bidang ekonomi sahaja.

Di negara China, pelbagai wacana dalam bentuk forum, seminar, dialog dan yang lain diadakan di seluruh negara untuk menjelaskan konsep dan pelaksanaan Inisiatif OBOR. Pada 25-27 September 2017, misalnya, pemerintah provinsi Hainan dan Kolej Pengajian Asing Hainan telah mengadakan Forum Akademik China (Hainan) – ASEAN di bandar Bo'ao, Hainan. Tumpuan forum khusus membicangkan inisiatif itu daripada pelbagai sudut, termasuk kebudayaan dan pendidikan. Kira-kira 70 orang wakil negara ASEAN dari Malaysia, Thailand, Cambodia, Indonesia, Singapura, Vietnam serta wakil provinsi utama di China Selatan, iaitu Hainan, Guangxi, Guangdong dan Yunnan ikut serta. Syukur kertas kerja wakil Malaysia yang saya bentangkan dimasukkan dalam sidang kertas utama sesudah masjlis perasmian oleh Pengarah Jawatankuasa Pusat Parti, Provinsi Hainan, Puan Xian Yingzi.

Sejumlah 30 kertas kerja yang dibentangkan dan dibincangkan secara serius mengupas pendekatan bersepadu dalam pelaksanaan Inisiatif OBOR agar tumpuan tidak diberikan hanya kepada bidang ekonomi tetapi juga kepada bidang kebudayaan, pendidikan, falsafah dan agama. Kertas kerja Malaysia yang saya bentangkan berjudul "Menelusuri Sejarah Hubungan Alam Melayu dan China dan Wawasan Masa Hadapan". Kertas kerja itu merakamkan hubungan antara dua tamadun timur itu yang telah berlangsung lebih dua ribu tahun lalu, iaitu kira-kira 100 tahun sebelum Masihi. Hubungan yang jelas tercatat dalam sejarah alam Melayu dan juga sejarah China berlangsung pada abad ketujuh, iaitu dalam zaman kerajaan Melayu lama, Empayar Sriwijaya dan Dinasti Tang.

Hubungan berbentuk kebudayaan dan pendidikan telah pun bermula dalam zaman Sriwijaya dan Dinasti Tang, dengan peranan Pendeta Yi Jing dari China yang mencatat beberapa aspek tamadun alam Melayu dalam tulisannya yang tersimpan di kuil terbesar Buddha di kota Xi'an, China. Antara yang dilaporkan oleh Yi Jing termasuklah sistem pemerintahan Sriwijaya, adat istiadat, bahasa Melayu dan pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu. Pada abad itulah istilah "Melayu" mula diketengahkan dalam versi Mandarinnya "Moloyu".

Fasa kedua hubungan tamadun Melayu-China memuncak pada abad ke-15, iaitu dalam zaman Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming. Hubungan diplomatik antara Dinasti Ming dengan Kesultanan Melayu yang begitu pesat tergambar dalam catatan sejarah istana Dinasti Ming dengan berlangsungnya 57 kegiatan diplomatik antara dua kerajaan itu. Selain hubungan diplomatik, hubungan antara dua tamadun itu cukup maju dalam bidang ekonomi dan kebudayaan. Melaka menjadi pusat petempatan puluhan bangsa, termasuk dari China sehingga warisnya masih kekal sebagai sebahagian rakyat Malaysia, terutama golongan yang dikenal sebagai kaum Baba.

Beberapa aspek kebudayaan Melayu dan China telah mengalami asimilasi, seperti makanan, pakaian dan bahasa. Sangat penting dicatat bahawa hubungan Melayu-China pada abad ke-15 telah melonjakkan bahasa Melayu menjadi bahasa penting di peringkat antarabangsa. Maharaja China memberikan perhatian istimewa kepada bahasa Melayu di samping bahasa-bahasa asing lain. Disediakan jurubahasa bahasa Melayu di istana dan kemudian bahasa Melayu turut diajarkan dalam biro jurubahasa untuk melatih jurubahasa dan pegawai China yang berurusan di Melaka. Kemuncak perhatian Dinasti Ming kepada bahasa Melayu ialah penyusunan kamus Melayu-China yang memaparkan 17 bidang kehidupan di alam Melayu, seperti astronomi, musim dan cuaca, bilangan, istana dan bangunan, tumbuh-tumbuhan, makanan, warna dan kehidupan sosial.

Kertas kerja saya turut menggalurkan hubungan Malaysia-China dalam zaman moden, iaitu bermula dengan perpindahan petani dan peniaga serta pekerja yang dibawa oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Mereka kemudian diterima sebagai warganegara apabila Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Mereka turut membentuk landskap dan pola kependudukan di Malaysia sebagai kaum kedua terbesar sesudah orang Melayu. Hubungan diplomatik yang termeterai antara Malaysia dengan Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974 memberikan sinar baharu untuk berlangsungnya kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.

Sebagai wawasan untuk dijadikan landasan kerjasama dalam konteks Inisiatif OBOR secara bersepadu, saya kemukakan beberapan saran yang meliputi penyelidikan dan program bersama dalam bidang ketamadunan, pendidikan dan penerbitan. Antara yang melibatkan penyelidikan termasuklah kajian perbandingan tamadun Melayu-China dalam bidang falsafah, sistem kepercayaan, pemikiran, pandangan sarwa atau pandangan alam, kesenian, seni bina dan bahasa. Kajian perbandingan aspek-aspek itu akan meningkatkan persefahaman kedua-dua pihak.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China