Cari:
Menghidupkan OBOR Budaya Dalam Inisiatif OBOR Ekonomi (2)
2017-10-17 17:51:10 CRI Cetak

oleh Awang Sariyan
Penyandang Kursi Profesor Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia
di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BSFU)

(sambung)

Beberapa kajian awal menunjukkan banyaknya persamaan antara beberapa aspek tamadun Melayu dan China. Misalnya, beberapa orang sarjana Malaysia dan China pernah mengkaji keselarasan ajaran Konfusionisme dengan Islam, khususnya dalam bidang akhlak. Pengaruh seni bina masjid di Melaka dan beberapa buah masjid lain di Malaysia yang mirip dengan seni bina di China menunjukkan adanya hubungan seni bina sejak lama dahulu. Kemudian cukup menarik hasil kajian sarjana China, iaitu Profesor Xu Younian dan Dr. Tan Xiao bahawa terdapat persamaan antara pantun dan lagu tradisi China di bahagian selatan.

Aspek lain yang penting dikaji ialah kesan saling mempengaruhi antara dua tamadun dalam bidang bahasa. Bahasa Mandarin dan beberapa dialek seperti Hokkien, Kantonis dan Hainan, menurut kajian Profesor Russell Jones di Univesiti London dan beberapa orang sarjana lain menyumbangkan kosa kata dalam bahasa Melayu. Sebaliknya pula, bahasa Melayu yang mendapat perhatian maharaja China pada abad ke-15 kini kian meluas pengajaran dan penyebarannya di negara China. Kursus bahasa Melayu peringkat ijazah telah menjadi salah satu bahasa asing yang utama di lebih 10 buah universiti dan maktab di seluruh China. Selain di Beijing, di provinsi Guangdong, Guangxi, Henan, Tianjin, Yunnan dan Hainan bahasa Melayu telah menjadi salah program ijazah di universiti dan maktab. Terbaharu, beberapa buah sekolah menengah di China mula memperkenalkan bahasa Melayu sebagai salah bahasa asing dan kecenderungan ini tampakanya akan meluas dengan pesatnya hubungan antara Malaysia dengan China melalui Inisiatif OBOR.

Dalam bidang pendidikan, saya kemukakan peningkatan dan peluasan program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar antara kedua-dua buah negara. Setakat ini, beberapa buah universiti di China telah menjalin kerjasama dengan beberapa buah universiti di Malaysia melalui program pemindahan kredit setahun untuk pelajar ijazah Bahasa Melayu dari Universiti Pengajian Asing Beijing, Universiti Komunikasi China, Universiti Bangsa-bangsa Yunnan, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi, Universiti Pengajian Asing Guangdong dan Universiti Pengajian Asing Tianjin. Bidang program pertukaran pelajar perlu diluaskan ke bidang lain. Untuk pelajar Malaysia ke China, amat bermanfaat ditumpukan perhatian kepada pengajian perniagaan dan perubatan tradisional, selain pengajian Mandarin. Demikian juga program cuti sabatikal bagi tenaga akademik dari kedua-dua buah negara perlu ditingkatkan untuk kajian perbandingan tamadun yang telah saya sebut di atas.

Yang juga penting dirancang ialah penubuhan cawangan universiti. Di Malaysia telah ada kampus cawangan Universiti Xiamen, dan sangat perlu adanya cawangan universiti Malaysia di China. Ura-ura Universiti Malaya untuk menubuhkan cawangannya di China dengan kerjasama Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) perlu disusuli dengan segara. Minat ibu bapa dan pelajar China untuk melanjutkan pengajian di Malaysia cukup ketara, terutama kerana kos yang relatif rendah berbanding dengan kos di Eropah dan di Amerika Syarikat. Dengan adanya cawangan universiti negara kita di China, sebahagian program pengantarabangsaan pendidikan Malaysia dapat dijadikan kenyataan di negara berpenduduk lebih 1.3 bilion itu.

Cadangan lain yang saya kemukakan ialah kerjasama Inisiatif OBOR dalam bidang penerbitan dan terjemahan. Bidang ini sungguh luas bagi pasaran terbitan Malaysia, baik buku ilmiah, buku umum dan karya sastera mahupun buku kanak-kanak. Beberapa ekspo buku antarabangsa di China setakat ini menunjukkan potensi pasaran terbitan Malaysia, khususnya edisi Mandarin. Dengan sendirinya bidang terjemahan menjadi salah satu kerjasama industri yang cukup berpotensi besar dalam Inisiatif OBOR.

Sebagai rumusan, Forum Akademik China (Hainan) – ASEAN yang mengupas pelaksanaan Inisiatif OBOR secara bersepadu membuka mata dan fikiran agar kerjasama China – ASEAN dan dengan negara-negara sedunia yang lain perlu turut merangka strategi dan pelan dalam bidang selain ekonomi, iaitu kebudayaan, pendidikan, agama dan aspek lain dalam tamadun. Benarlah bahawa kehidupan manusia bukan hanya bersandar pada ekonomi tetapi banyak bergantung pada kekuatan kebudayaan, pendidikan, agama dan aspek lain. Semoga pemuka dan rakyat negara kita memandang serius perkara tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China