Cari:
Xi: China dalam Era Baharu
2017-10-18 15:39:27 CRI Cetak

Kongres Kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) dirasmikan di Beijing pagi tadi.

Xi Jinping mewakili Jawatankuasa Pusat ke-18 PKC membentangkan laporan pada kongres ini, serta pelan induk pembangunan China pada masa akan datang. Beliau mengumumkan bahawa sosialisme yang bercirikan China telah memasuki era baharu.

PKC akan membawa rakyat China mewujudkan sasaran pembangunan masyarakat kaya secara menyeluruh, membina China sebagai negara sosialis moden yang kuat, kaya, demokratik, indah dan harmoni menjelang pertengahan abad ke-21 ini.

Xi dalam laporannya menyatakan bahawa sepanjang lima tahun lalu, PKC telah mengukuhkan kepimpinan parti secara menyeluruh dan mengemukakan beberapa konsep dan strategi pentadbiran yang baharu.

Dalam tempoh tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China meningkat kepada RMB80 trilion (RM51 trilion), menyumbang kepada lebih 30% pertumbuhan ekonomi dunia. Dalam tempoh itu, China berjaya membantu lebih 60 juta rakyat keluar daripada kemiskinan.

Berdasarkan keadaan ini, Xi menegaskan bahawa China kini berada pada titik permulaan baharu dalam sejarah.

Konsep sosialisme yang bercirikan China pertama kali diperkenalkan semasa Kongres Kebangsaan ke-12 PKC, 30 tahun lalu. Konsep itu terus menjadi falsafah dan pegangan PKC dalam pentadbiran negara selepas dasar pembaharuan pintu terbuka dilaksanakan.

Pemikiran bahawa sosialisme yang bercirikan China telah memasuki era baharu yang disampaikan dalam kongres ini bukan sahaja satu bentuk pewarisan tradisi, tetapi juga pendekatan untuk merintis dan menginovasi.

Pada lima tahun yang lalu, Kongres Kebangsaan ke-18 PKC telah mengemukakan matlamat pembangunan "dua 100 tahun", iaitu mewujudkan masyarakat kaya secara menyeluruh menjelang ulang tahun ke-100 penubuhan PKC pada tahun 2021, dan membangunkan negara sosialis yang moden menjelang ulang tahun ke-100 penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 2049.

China pada masa ini menghampiri sasaran pertama dan sedang mengorak langkah ke sasaran kedua. Xi dalam laporannya telah menggariskan strategi untuk membangunkan China sebagai negara sosialis yang moden.

Menurutnya, melihat kepada situasi dalam dan luar negara, laluan ke arah matlamat kedua itu boleh dibahagikan kepada dua fasa. Pada fasa pertama iaitu tahun 2020 hingga 2035, China mewujudkan modenisasi sosialis pada asasnya. Pada fasa kedua pula, iaitu pada 2035 hingga 2050, China akan dibangunkan sebagai negara sosialis moden yang makmur, kuat, demokratik, harmoni dan indah dengan tamadun gemilang.

Ketika menyebut hal ehwal Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Wilayah Pentadbiran Khas Makau, serta Taiwan, Xi berkata, dasar "satu negara dua sistem", "warga Hong Kong mentadbir Hong Kong", "warga Makau mentadbir Makau", dan tahap autonomi tinggi mesti dikekalkan berdasarkan perlembagaan dan Undang-undang Asas. Tambah beliau, Konsensus 1992 merupakan asas politik bagi hubungan antara Taiwan dengan Tanah Besar.

Ketika menyentuh tentang dasar luar China pula, Xi berkata, PKC sentiasa melihat pemberian sumbangan yang lebih besar kepada umat manusia sebagai tugasnya.

China mengekalkan laluan pembangunan secara damai, menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi sesama insan, mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan damai, giat menjalin perkongsian dan memperluas kepentingan bersama dengan negara-negara lain, meneruskan dasar pintu terbuka serta memperkasakan kerjasama antarabangsa di bawah inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R).

Bercakap tentang usaha membanteras rasuah, Xi berkata rakyat amat benci akan gejala rasuah, yang merupakan ancaman paling besar bagi PKC. PKC komited memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Untuk itu, sistem penyeliaan yang cekap perlu dibentuk di jawatankuasa PKC pelbagai peringkat bagi membantu menjayakan matlamat rasuah sifar.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China