Kementerian Minyak Iraq semalam mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan dan syarikat asing ditegah menjalankan perdagangan minyak dengan wilayah autonomi Kurd tanpa kebenaran kerajaan pusat negara itu.
Menurut Menteri Minyak, Jabar Ali al-Luaibi, Perlembagaan dan undang-undang Iraq menetapkan bahawa hanya kerajaan pusat dan Kementerian Minyak berhak memeterai kontrak dan perjanjian mengenai penerokaan dan pelaburan minyak dan gas asli dengan negara luar. Sebarang kontrak dan perjanjian lain dianggap tidak sah.
Pada 25 September lalu, wilayah autonomi Kurd mengadakan referendum kemerdekaan tanpa mengira bantahan pelbagai pihak. Susulan itu, Parlimen Iraq meluluskan resolusi yang menggesa Perdana Menteri Haider al-Abadi mengarahkan penempatan tentera di "kawasan yang dipertikaikan" di luar wilayah pentadbiran Kurd.