Pembangunan tentera China pada tahun-tahun kebelakangan ini menjadi tumpuan perhatian umum. Pembaharuan yang dijalankan dengan tegas telah meletakkan nama tentera China lebih tinggi di pentas dunia.
Dalam sesi wawancara secara berkumpulan di pusat media Kongres Kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) semalam, empat wakil dari kalangan tentera menyatakan bahawa pola baharu kerjasama antarabangsa dalam bidang ketenteraan yang melibatkan segenap aspek telah beransur-ansur dibentuk.
Dalam tempoh lima tahun lalu, tentera China telah memperluas lingkungan sahabatnya, di samping menyediakan lebih banyak produk keselamatan awam kepada masyarakat antarabangsa.
Wakil PKC dari Pejabat Kerjasama Ketenteraan Antarabangsa, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Liu Fang menyatakan bahawa tentera China memikul tanggungjawab yang wajar digalas selaku negara gergasi, dan sentiasa menyokong dan melibatkan diri dengan aktif dalam usaha pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
China komited menyertai operasi menyelamat dan bantuan bencana di seberang laut. Selain itu, tentera China juga telah menjamin keselamatan pelayaran bagi lebih 6,300 buah kapal seluruh dunia.
Sepanjang lima tahun lalu, pembaharuan yang dijalankan oleh China terhadap sektor pertahanan negara dan pasukan tentera menjadi catatan baharu dalam lipatan sejarah, sekali gus mengorak selangkah lebih hampir dengan misi membangunkan tentera yang bercirikan China.
Laporan Xi Jinping mewakili Jawatankuasa Pusat ke-18 yang dibentangkan semasa Kongres Kebangsaan ke-19 ini menegaskan bahawa China menjunjung dasar pertahanan yang defensif. Pembangunan China bukanlah ancaman terhadap negara lain. Liu Fang menganggap bahawa selepas pembangunan modenisasi pertahanan dan pasukan tentera China memasuki era baharu dan kemampuan pertahanan negara ini meningkat ke tahap yang lebih tinggi, China akan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada kedamaian dunia.