Xi Jinping menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sidang media di Beijing pagi tadi untuk mengumumkan tujuh anggota jawatankuasa penggal baharu, iaitu Xi Jinping, Li Keqiang, Li Zhanshu, Wang Yang, Wang Huning, Zhao Leji dan Han Zheng.
Xi menyatakan, dalam tempoh lima tahun yang lalu, China telah melaksanakan banyak tugasan, ada yang sudah diselesaikan dan ada pula akan diteruskan. PKC dalam Kongres Kebangsaan ke-19 mengemukakan sasaran dan tugas baharu, dan akan menjayakan tugas tersebut dengan bersungguh-sungguh.
Melalui usaha dalam jangka masa yang panjang, sosialisme yang bercirikan China telah memasuki era baharu. Era baharu ini membawa bersama penampilan baharu bahkan kejayaan baharu. Dalam tempoh lima tahun akan datang, China akan mewujudkan matlamat pembangunan "100 tahun" pertama, dan mengorak langkah untuk mencapai matlamat "100 tahun" kedua. Tempoh itu melibatkan banyak masa penting, yang turut menjadi titik permulaan yang penting bagi kerja kerajaan China.
Pada tahun 2018, China akan menyambut ulang tahun ke-40 pelaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Dasar pembaharuan dan pintu terbuka merupakan dasar yang amat penting yang menentukan nasib negara ini. Taraf kehidupan rakyat China semakin meningkat dalam proses membangunkan masyarakat kaya sepanjang 40 tahun yang lalu.
China akan merumuskan pengalaman agar terus memangkinkan pemodenan sistem dan kemampuan pentadbiran negara, selain mempergiat pembaharuan dan transformasi dalam segenap aspek. Kebangkitan semula bangsa China pasti dapat direalisasikan hasil pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.
Tahun 2019 adalah ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China. Menerusi pelaksanaan konsep pembangunan yang baharu, China akan memacu pertumbuhan ekonomi secara mampan dan sihat, di samping memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat malah dunia.
Tugasan yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Sosioekonomi China bagi Tempoh Lima Tahun ke-13 (2016 hingga 2020) akan dijayakan, begitu juga perancangan baharu bagi pembangunan negara untuk jangka panjang.
China akan mewujudkan sasaran pembinaan masyarakat kaya secara menyeluruh pada tahun 2020. Dalam haluan ke arah tersebut, tiada seorang pun akan ditinggalkan. PKC akan berganding bahu dengan seluruh lapisan masyarakat China untuk membasmi kemiskinan. Aspirasi rakyat terhadap kehidupan yang lebih baik adalah matlamat tugas PKC manakala kepentingan rakyat perlu sentiasa diutamakan dalam proses pembangunan negara.
Tahun 2021 pula merupakan ulang tahun ke-100 penubuhan PKC, parti politik terbesar di dunia. Fakta membuktikan bahawa PKC bukan sahaja berkeupayaan memimpin rakyat melaksanakan pembaharuan sosial, tetapi juga berani menjalankan pembaharuan dalaman. PKC yang berkhidmat untuk rakyat dan selaku tulang belakang negara, akan terus memerangi gejala rasuah yang mencemari integriti parti serta memimpin rakyat menuju ke masa depan yang cemerlang.
PKC dan rakyat China yang pernah menderita akibat kesengsaraan lalu, memahami betapa pentingnya keamanan dan pembangunan.
Rakyat China yang memiliki keyakinan dan harga diri akan mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan hak pembangunan negara serta bekerjasama dengan rakyat negara-negara lain untuk mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, untuk terus memberikan sumbangan baharu demi keamanan dan pembangunan umat manusia.
Sejarah negara ditempa oleh rakyat, dan semua kejayaan yang dikecapi adalah hasil titik peluh rakyat. PKC akan bersatu padu dengan rakyat untuk terus maju tanpa rasa takut.