Lapan maut dan lebih 10 lagi cedera selepas sebuah trak kecil merempuh pejalan kaki di Lower Manhanttan, New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Ketua Polis New York, James O'Neill dalam satu sidang media memaklumkan bahawa trak kecil itu merempuh pejalan kaki sebelum bertembung dengan bas sekolah di lokasi berhampiran Pusat Perdagangan Dunia pada kira-kira 3.05 petang semalam.
Pemandu, lelaki berumur 29 tahun, ditembak polis setelah keluar dari traknya dengan membawa dua senapang palsu.
Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataan melalui Twitter menyifatkan kejadian itu sebagai serangan oleh "orang yang gila dan sakit" dan menyatakan agensi penguatkuasaan undang-undang sedang mengikuti perkembangan kes itu.
Beliau turut menyampaikan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka.