Dengan tema "mendakap perubahan, integrasi dengan dunia", persidangan tahun ini memfokuskan integrasi ekonomi serantau, kerjasama antikeganasan dan keselamatan serantau, kerjasama China-ASEAN dan lain-lain. Inisiatif China untuk menggalakkan kerjasama Asia Timur dan membina komuniti berkongsi nasib Asia, menjadi tumpuan perhatian antarabangsa.
Mesyuarat pemimpin kali pertama selepas rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimulakan juga akan diadakan sempena siri sidang pemimpin Asia Timur kali ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Filipina, antikeganasan antara fokus Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam persidangan ini. Filipina, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan rondaan bersama di laut dan udara masing-masing pada bulan Jun dan Oktober lalu.
Dalam pada itu, tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN dan ulang tahun ke-20 bagi kerjasama ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan (10+3). Manakala, tahun depan merupakan ulang tahun ke-15 terjalinnya hubungan perkongsian straregik China-ASEAN.
Dalam persidangan ini, China dan negara ASEAN dijangka mencapai kemajuan baharu dalam rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC).