Sidang Tahunan Industri Permainan China 2017 dirasmikan di bandar Haikou, provinsi Hainan pada 19 Disember lalu.
Sidang yang bersasaran menggalakkan pembangunan permainan, jenama sendiri, persaingan adil serta kemakmuran industri China, dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Budaya, Radio, Televisyen, Penerbitan dan Sukan provinsi Hainan, Ding Hui.
Naib Ketua Pengarah SAPPRFT Zhang Hongsen
Ketika membentangkan Laporan Industri Permainan China 2017, Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Penerangan, Penerbitan, Radio dan Televisyen Negara China (SAPPRFT) Zhang Hongsen menyatakan bahawa industri permainan dalam talian mengekalkan momentum kukuh dan mencapai hasil yang memuaskan.
Skala industri yang terus meningkat menjadi penjana ekonomi Internet. Berdasarkan statistik Persatuan Audio, Video dan Penerbitan Digital China, jumlah jualan pasaran permainan China pada tahun 2017 meningkat 23% daripada tahun lalu, dengan mencatat RMB203.61 bilion (RM127 bilion).
Antaranya, jualan permainan dalam talian buatan China mencatat RMB139.74(RM87 bilion), meningkat 18.2%, sementara permainan mudah alih terus laris hingga menjana pendapatan RMB116.12 bilion (RM72.4 bilion), melonjak 41.7%.
Pada masa yang sama, pengeksportan permainan buatan China turut mengekalkan pertumbuhan mantap, dengan jualan di pasaran seberang laut mencapai USD8.28 bilion (RM5.2 bilion), naik 14.5%. Jumlah pengeluaran pula meningkat dengan stabil dan memberi sumbangan ketara kepada penggunaan produk berorientasikan budaya.
Pada tahun 2017, SAPPRFT meluluskan sebanyak 9,800 produk permainan, antaranya lebih 95% adalah buatan China sendiri. Jumlah pengguna produk permainan di China bertambah 3.1% berbanding tahun lalu kepada 583 juta, iaitu lebih 75% keseluruhan pengguna internet negara ini.
Kini terdapat 185 syarikat pengusaha permainan tersenarai di bursa saham dan 158 syarikat tersenarai di sistem peralihan saham perusahaan kecil dan sederhana. Ini memperlihatkan keyakinan pasaran modal terhadap perkembangan industri permainan China.
Cheng Wu (Naib Presiden Tencent)
Ding Lei (CEO NETEASE)
Xie Fei (CEO Sanda)
Wang Yuyun (Naib Presiden Prefect World)
Pegawai kanan dari pelbagai syarikat permainan terkenal di China, termasuk Tencent, NETEASE, Shanda dan Perfect World turut mengongsikan pencapaian syarikat masing-masing, trend dan perubahan industri permainan, serta prospek pada tahun 2018 dengan para peserta sidang tahunan tersebut.
Permainan yang menawarkan interaksi video serta e-sukan antara jenis produk paling dinamik dalam industri permainan China pada masa ini.
Sidang tahunan tersebut mengundang para peserta membincangkan kaedah pengeluaran produk berkualiti tinggi dengan menggunakan IP terkenal, di samping memanfaatkan populariti e-sukan demi kebaikan masyarakat.
Kemajuan industri permainan China setakat ini mengukuhkan keyakinan pengusaha bahawa "semangat pertukangan China" sesuai dijadikan amalan dalam industri tersebut.
Industri berkenaan dipercayai bukan sahaja dapat membawa limpahan peluang untuk diteroka, malah mampu menonjolkan budaya China yang lebih moden, bervariasi dan dinamik kepada dunia.