Di ambang 2018, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusan tahun baharu melalui Radio Antarabangsa China (CRI), Radio Nasional Pusat (CNR), Televisen Pusat China (CCTV), Rangkaian Televisyen Global China (CGTV) dan Internet.
ucapanxi
|
Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,
Betapa cepatnya masa berlalu! Dalam sekelip masa sahaja, kita sudah berada di ambang 2018. Dengan peluang ini, saya menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada rakyat pelbagai etnik, saudara setanah air di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Wilayah Pentadbiran Khas Makau, Taiwan serta perantau China di seberang laut dan kawan-kawan di seluruh dunia.
Sepanjang tahun ini, satu demi satu kemajuan dilakar hasil titik peluh seluruh rakyat.
Kongres kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) diadakan dengan jayanya, sekali gus membuka era baharu pembangunan negara sosialis yang moden secara menyeluruh.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai RMB80 trilion, peluang kerja baharu di bandar dan pekan lebih 13 juta, skim insurans warga emas meliputi lebih 900 juta orang, insurans perubatan asas mencakupi 1.35 bilion orang, sementara lebih 10 juta lagi penduduk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Seramai 3.4 juta penduduk miskin berpindah ke kediaman baharu, hasil program pembaikpulihan komuniti lama yang setakat ini telah menyaksikan 6 juta unit rumah siap dibina lebih awal daripada dijadualkan.
Usaha menambah baik kesejahteraan rakyat mencapai kemajuan ketara, persekitaran ekologi pulih beransur-ansur, membolehkan rakyat berasa lebih bahagia dan selamat. Hal ini tanda China mengorak satu lagi langkah besar ke arah mewujudkan masyarakat kaya secara menyeluruh.
Inovasi teknologi dan pelaksanaan projek-projek mega membuahkan hasil memberangsangkan. Huiyan, teleskop angkasa sinar-X pertama China berjaya dilancarkan; C919, pesawat penumpang badan lebar pertama buatan China, berjaya mengadakan ujian penerbangan; penyelidikan komputer kuantum mencapai kejayaan; kapal induk buatan China pertama dibawa ke pelabuhan; Haiyi, peluncur bawah air menyelesaikan misi meninjau di laut; penerokaan ais mudah bakar berjaya; pelabuhan automatik Yangshan fasa keempat dibuka; projek jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau siap dibina; kereta api laju (HSR) "Fuxing" mula beroperasi... Saya ingin mengucapkan syabas atas kemampuan inovasi rakyat.
China telah mengadakan perbarisan tentera di pangkalan Zhurihe bagi memperingati ulang tahun ke-90 penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Sempena ulang tahun ke-20 Hong Kong dikembalikan kepada tanah air, saya telah melawat dan menyaksikan sendiri kemakmuran dan kestabilan Hong Kong berkat sokongan tanah air. Masa depan Hong Kong pasti lebih cerah.
China telah mengadakan upacara memperingati ulang tahun ke-80 perang rakyat menentang pencerobohan Jepun dan Hari Peringatan Tragedi Pembunuhan Beramai-ramai Nanjing supaya sejarah dijadikan iktibar dan kedamaian dihargai.
China telah menjadi tuan rumah bagi beberapa aktiviti diplomatik multilateral, termasuk Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa "Jalur dan Laluan" (B&R) pertama, pertemuan pemimpin BRICS di Xiamen, dan dialog PKC dengan parti-parti politik dunia.
Pada awal tahun ini, saya telah menghadiri sidang tahunan Forum Ekonomi Dunia Davos dan menyampaikan ucapan di ibu pejabat PBB di Geneva, disusuli Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), sidang tidak rasmi pemimpin APEC dan lain-lain.
Dengan kesempatan tersebut, saya betukar-tukar pandangan dengan pelbagai pihak, dan semua bersetuju bergabung tenaga untuk menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan demi faedah rakyat.
Pada tahun 2017, saya telah menerima banyak surat daripada rakyat. Antaranya termasuk penduduk dari Kampung Yumai Tibet, penggembala dari Mongolia Dalam, profesor dari Universiti Jiaotong Xi'an dan mahasiswa Universiti Nankai yang baru berkhidmat dalam tentera. Kisah di sebalik perjuangan mereka sungguh menyentuh hati, dan membuktikan setiap penat lelah yang dicurahkan pasti membuahkan hasil.
Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,
Tahun 2018 merupakan permulaan bagi pelaksanaan semangat kongres kebangsaan ke-19 PKC, yang telah merangka cetak biru pembangunan negara sepanjang 30 tahun akan datang. Sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Untuk merealisasikan cetak biru itu, kita tidak boleh omong-omong sahaja, mestilah bekerja keras selangkah demi selangkah.
Tahun 2018 juga merupakan ulang tahun ke-40 pelaksanaan dasar pembaharuan dan pinta terbuka China. Pembaharuan dan pintu terbuka, jalan yang perlu ditempuh dalam proses pembangunan negara serta perjuangan merealisasikan Impian China. Kita beriltizam mengharungi segala rintangan dan kendala hingga menjayakan pembaharuan berkenaan.
China komited mencapai matlamat pembasmian kemiskinan yang ditetapkan menjelang 2020. Kini hanya tinggal tiga tahun sahaja. Seluruh masyarakat patut menggembleng tenaga ke arah itu. Matlamat tersebut, jika dapat dicapai tepat pada waktunya, akan merekodkan kejayaan pertama China membasmi kemiskinan secara menyeluruh dalam sejarah.
Sebagai negara besar yang bertanggungjawab, China dengan teguh mempertahankan kewibawaan dan kedudukan PBB, melaksanakan sepenuhnya kewajiban dan tanggungjawab antarabangsa, menepati komitmen dalam usaha menangani perubahan iklim global, aktif menggalakkan pembangunan B&R, serta sentiasa berperanan sebagai pembina keamanan dunia, penyumbang pembangunan sejagat dan penjaga order antarabangsa. Rakyat China bersedia berusaha bersama-sama rakyat negara-negara lain bagi membangunkan dunia yang lebih makmur, tenteram dan indah untuk umat manusia.
Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,
Hasil pembangunan lahirnya daripada usaha gigih rakyat dan patut dikongsi mereka. Pendidikan, peluang kerja, pendapatan, insurans sosial, perubatan, insurans warga emas, perumahan dan alam sekitar, antara isu yang paling menarik perhatian rakyat. Masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah baik kesejahteraan rakyat. Kepentingan dan kebahagiaan rakyat perlu sentiasa diutamakan!
Terima kasih.