Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang juga Ketua Pejabat Kumpulan Pimpinan Kewangan dan Ekonomi Pusat China, Liu He telah menghadiri sidang tahunan Forum Ekonomi Dunia ke-48 di Davos dan membentangkan ucapan mengenai dasar ekonomi China. Upacan itu telah mendapat penilaian yang positif daripada para hadirin sidang itu.
Liu He dalam ucapan yang bertemakan "mendorong pembangunan bermutu tinggi dan menggalakkan bersama kemakmuran dan kestabilan ekonomi sejagat" telah menyampaikan hasrat China untuk menggalakkan globalisasi ekonomi dan memperkenalkan langkah berkenaan. Liu He menegaskan bahawa China akan terus menggalakkan keterbukaan kepada luar dengan menyeluruh, memperluas akses ke pasaran domestik, berusaha menggalakkan pembinaan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R), menjunjung konsep tadbir urus sejagat yang mengutamakan perbincangan bersama, pembangunan bersama dan perkongsian bersama, dengan teguh memelihara sistem multilateralisme dan perdagangan pelbagai hala, dan menggalakkan pembinaan hubungan antarabangsa baharu dan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Penolong Menteri Diplomatik dan Kerjasama Antarabangsa Emiria Arab Bersatu, Mohammed Sharaf menyatakan bahawa bukan sahaja pembangunan China sendiri, tetapi juga pembangunan sejagat memanfaatkan dasar ekonomi China yang terbuka.
Ketika menyentuh isu mengenai pencemaran alam dan perubahan iklim, bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan memuji China kerana meningkatkan tahap pencegahan pencemaran, memperbaiki mutu ekologi alam dan menggalakkan pelaksanaan Perjanjian Paris berdasarkan kerjasama antarabangsa.