Kerajaan China baru-baru ini melancarkan pusingan baharu operasi membanteras jenayah kongsi gelap. Tindakan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan suasana kehidupan yang selamat dan damai bagi seluruh rakyat.
Pada tahun lalu, kadar jenayah ganas di China berkurang 51.8% berbanding 2012, manakala rasa puas hati penduduk terhadap keselamatan meningkat kepada 95.55%.
Sehubungan dengan ini, semakin ramai orang menganggap bahawa China antara negara yang paling selamat di dunia.
Menurut anggaran terkini PBB, secara puratanya terdapat 300 anggota polis bagi setiap 100 ribu orang awam di dunia. Angka ini bagaimanapun jauh lebih rendah di China, iaitu hanya 140 anggota polis bagi setiap 100 ribu orang awam.
Jadi, apakah rahsia China menjamin keselamatan masyarakat sedangkan jumlah anggota polisnya tidak begitu ramai?
Berbeza dengan sesetengah negara lain, tanggungjawab menjamin keselamatan masyarakat di China bukan terletak di bahu penguatkuasa undang-undang semata-mata.
Seiring dengan pelaksanaan pembaharuan dan dasar pintu terbuka di China, struktur sosial turut mengalami perubahan besar. Mobiliti populasi yang makin meningkat turut membawa cabaran baharu yang rumit.
Hasil rumusan pengalaman sejarah dan kajian mengenai teori pengurusan moden berdasarkan keadaan negara sendiri, Parti Komunis China memperkenalkan konsep keselamatan yang merangkumi penglibatan seluruh anggota masyarakat termasuk orang awam.
Dengan sumbangan rakyat, operasi membanteras sindiket kongsi gelap, merampas senjata dan memerangi jenayah dadah membuahkan hasil.
Sinergi antara polis dan rakyat ini terbukti berkesan apabila China dilihat sebagai salah satu negara yang paling selamat, dengan kadar jenayah antara paling rendah di dunia.
Peranan yang dimainkan oleh rakyat China dalam mengekang jenayah dari akar umbi membantu menjamin keselamatan dan kestabilan sosial.