Hari ini hari terakhir tahun lama menurut imlek Cina. Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dapat dirasai di merata-rata tempat di China.
Di pasar, barang-barang keperluan sambutan TBC laris dijual. Seorang penduduk Beijing, Encik Gao yang akan menyambut TBC bersama ayah dan saudara mara sudah selesai membeli semua barang yang diperlukan.
Untuk menambah kemeriahan sambutan TBC, pelbagai aktiviti diadakan di seluruh negara.
Pesta Lampu Qinhuai di bandar Nanjing merupakan satu aktiviti bersempena TBC yang sudah bersejarah lebih 1,700 tahun. Aktiviti itu juga salah satu pesta lampu berskala paling besar dan disaksikan paling ramai pengunjung di China.
Lin Shougang yang berusia 70 tahun adalah seorang peminat pesta lampu tersebut. Beliau yang juga pencinta fotografi tidak akan melepaskan peluang mengambil gambar pesta berkenaan setiap tahun untuk dikongsikan dengan kawan-kawan.
Miaohui, atau bazar kuil juga antara aktiviti sangat popular dalam tempoh perayaan TBC. Orang ramai dapat berhibur dengan pelbagai permainan lama, sambil menghayati budaya dan adat resam tradisional.
Encik Shi yang tinggal di bandar Luoyang teruja melihat begitu banyak permainan dari zaman dahulu yang menimbulkan nostalgia. Kanak-kanak sangat gembira apabila diperkenalkan kepada permainan lama untuk kali pertama.