Sasaran pertumbuhan ekonomi China kira-kira 6.5% yang dibentangkan dalam laporan kerja kerajaan tahun ini menjadi tumpuan media Britain.
Akhbar Financial Times kelmarin menerbitkan ulasan bahawa ekonomi China menunjukkan momentum pertumbuhan kukuh pada tahun lalu. Sasaran kira-kira 6.5% tahun ini memperlihatkan China lebih mementingkan kualiti pertumbuhan daripada kepesatan, bagi memastikan sektor pelaburan dan alam sekitar tidak terbeban.
BBC dalam ulasan melalui laman sesawang menyatakan bahawa sasaran tahun ini yang tidak menurun berbanding tahun lalu serta prestasi ekonomi baik mencerminkan ekonomi China kian mampan.
Reuters pula mengulas bahawa tumpuan yang diberikan kepada kadar pengangguran memperlihatkan komitmen China menambah baik kesejahteraan rakyat, dengan meningkatkan pendapatan dan memperbanyak peluang kerja seiring pertumbuhan ekonomi negara.
Media Britain turut menumpukan pembaharuan yang disebut 97 kali dalam laporan kerja tersebut.
Financial Times menyifatkan dasar pembaharuan dan pintu terbuka yang sudah diamalkan China selama 40 tahun sumber motivasi bagi pembangunan ekonomi.
BBC pula melaporkan bahawa ekonomi terus menjadi fokus kerja kerajaan China tahun ini. China yang dahulunya bergantung pada pelaburan dan eksport untuk menjana pertumbuhan ekonomi, kini berusaha mengalihkan momentum kepada pertumbuhan penggunaan yang lebih konsisten.