Syarikat Baidu China akan bekerjasama dengan pengeluar automobil Jinlong untuk memasarkan automobil tanpa pemandu pada tahun ini.
Keluaran pertama adalah bas kecil tanpa roda kemudi mahupun tempat duduk pemandu untuk dioperasikan di jalan-jalan tertentu, disusuli kereta untuk pengguna biasa pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Baidu, Li Yanhong yang membentangkan rancangan itu dalam persidangan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) ke-13, menyatakan bahawa dalam masa tiga hingga lima tahun akan datang, kenderaan tanpa pemandu akan menjadi satu kelaziman.
Pada masa ini, teknologi itu mungkin dihadkan kepada jalan yang sesuai untuk pemanduan automatik misalnya lebuh raya, namun Li yakin kenderaan tanpa pemandu mampu menggantikan kenderaan biasa di semua jenis jalan tidak lama lagi.
Katanya, revolusi industri turut membawa kemajuan menakjubkan dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Bidang ini dipercayai akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi China dalam tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang.