Cari:
Xi, Putin Berbincang Menerusi Telefon
2018-03-20 12:50:48 CRI Cetak

Presiden China, Xi Jinping telah menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin melalui telefon semalam.

Xi mengucapkan tahniah kepada Putin atas kemenangan beliau dalam pilihan raya presiden Rusia baru-baru ini. Di bawah pimpinan Putin, rakyat Rusia dipercayai akan terus bersatu padu dan melakar pencapaian baharu.

Beliau berkata, China dan Rusia kini berada pada tempoh penting dalam pembangunan masing-masing.

Tahun ini merupakan tahun pertama China melaksanakan semangat Kongres Kebangsaan ke-19 Parti Komunis China (PKC) serta ulang tahun ke-40 pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.

Berbanding tahun-tahun lalu, persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) tahun ini lebih signifikan.

Selain memilih pemimpin baharu CPPCC dan pelbagai institusi negara, beberapa dokumen penting turut dibahaskan, seperti draf pindaan perlembagaan, draf undang-undang penyeliaan, serta pembaharuan terhadap institusi Dewan Negara.

Perkembangan ini penting bagi memupuk perpaduan dan menyemarakkan semangat perjuangan untuk mewujudkan Impian China.

Putin sebelum ini pernah menyampaikan pemikiran beliau mengenai pembangunan negara, penambahbaikan kesejahteraan rakyat, serta inovasi sains dan teknologi dalam ucapan di parlimen Moscow.

Xi bersetuju dengan pemikiran Putin itu, serta yakin China dan Rusia mampu mengorak langkah ke arah masa depan lebih cemerlang mengikut jalan masing-masing.

Xi berkata, China dan Rusia merupakan rakan kongsi strategik komprehensif yang telah bersama-sama mengharungi suka dan duka. Melalui pertemuan kerap, Xi dan Putin telah mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara hingga membawanya ke tempoh terbaik dalam sejarah.

Sebagai dua kuasa besar di dunia, China ingin terus bekerjasama dengan Rusia, mendalamkan komunikasi dua hala serta merancang pembangunan hubungan dua hala pada masa depan.

Putin turut mengambil kesempatan panggilan semalam untuk mengucapkan tahniah kepada Xi kerana sekali lagi terpilih sebagai Presiden China. Putin berkata, keputusan NPC itu membuktikan kewibawaan Xi serta sokongan rakyat China terhadap beliau.

Beberapa keputusan lain yang dibuat NPC nescaya merancakkan pembangunan China, dan turut dialu-alukan oleh Rusia.

Tambah beliau, hasil komitmen Presiden Xi, perkongsian strategik komprehensif China-Rusia kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah. Rusia mementingkan persahabatan dengan China dan bersedia meningkatkan interaksi peringkat tinggi.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China