Cari:
Xi Jinping Temui Kim Jong Un
2018-03-28 16:14:14 CRI Cetak

Atas undangan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China, Xi Jinping, Pengerusi Jawtankuasa Pusat Parti Buruh Korea (WPK) yang juga Setiausaha Agung Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Kim Jong Un mengadakan lawatan tidak rasmi di China pada 25 hingga 28 Mac.

Dalam rangka lawatan tersebut, Xi telah mengadakan pertemuan dengan Kim di Dewan Besar Rakyat, Beijing.

Xi dan isteri, Puan Peng Liyuan telah mengadakan jamuan untuk menyambut kedatangan Kim dan isteri, Ri Sol Ju, serta menonton persembahan seni bersama-sama.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC yang juga Perdana Menteri, Li Keqiang, Ahli Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC merangkap Setiausaha Sekretariat Pusat, Wang Huning, dan Naib Presiden China, Wang Qishan.

Xi bagi pihak Jawatankuasa Pusat PKC menyatakan alu-aluan atas lawatan pertama Kim ke China ini. Xi Jinping merakamkan terima kasih atas ucapan tahniah Kim setelah beliau sekali lagi terpilih sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat PKC susulan Kongres Kebangsaan ke-19 PKC.

Xi turut menyatakan penghargaan atas perutusan tahniah yang dikirim oleh Kim beberapa hari lalu setelah beliau sekali lagi terpilih sebagai Presiden China dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China. Kata beliau, lawatan ini diadakan pada waktu yang istimewa dan amat bermakna, sekali gus mencerminkan Setiausaha Agung Kim dan Jawatankuasa Pusat WPK memandang berat hubungan antara dua negara dan dua parti. Lawatan tersebut dinilai tinggi.

Kim pula menyatakan bahawa banyak peristiwa penting yang menggembirakan berlaku di China baru-baru ini.

Kongres Kebangsaan ke-19 PKC telah diadakan dengan dijayanya pada tahun lalu, begitu juga persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) pada tahun ini.

Xi dihormati oleh parti dan rakyat seluruh negara, teras pimpinan yang sekali lagi terpilih sebagai Presiden China dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (CMC).

Kata Kim, adalah wajar baginya untuk datang ke China untuk menyampaikan tahniah, sebagaimana tradisi persahabatan antara DPRK dengan China.

Situasi Semenanjung Korea mengalami perkembangan terbaharu. Kata Kim, beliau merasakan wajar baginya memaklumkan sendiri perkembangan ini kepada Xi, atas semangat kesetiakawanan.

Xi Jinping menyatakan, persahabatan tradisional China-DPRK yang dijalin dan dikukuhkan oleh pemimpin generasi dahulu dan kerajaan kedua-dua negara, merupakan khazanah bersama kedua-dua pihak. Mengenang kembali sejarah, pemimpin generasi dahulu yang mempunyai keyakinan dan hasrat yang sama serta ikatan yang mendalam, saling mempercayai dan menyokong, mencoretkan catatan yang berharga dalam sejarah hubungan antarabangsa. Xi berkata, pemimpin beberapa generasi di China dan DPRK mengekalkan hubungan rapat dan saling mengunjungi seperti ahli keluarga. Sokongan yang diberikan antara satu sama lain selama ini menyumbang kepada perjuangan sosialis. Xi yang menyatakan beliau bersama-sama Kim telah mengalami dan menyaksikan perkembangan hubungan bilateral, turut menambah bahawa kedua-dua pihak telah banyak kali menegaskan komitmen untuk terus mewarisi bahkan mengukuhkan persahabatan tradisional China-DPRK.

Inilah pilihan strategik malah satu-satunya pilihan betul berdasarkan sejarah dan realiti, situasi antarabangsa dan serantau serta hubungan China-DPRK. Fakta ini tidak akan dipengaruhi oleh sebarang peristiwa pada bila-bila masa sekali pun.

Xi menegaskan, PKC dan kerajaan China sangat mementingkan persahabatan dan kerjasama dengan DPRK. Mengekalkan, mengukuhkan dan mengembangkan ikatan dengan DPRK, prinsip PKC dan kerajaan China yang tidak berubah.

Kata beliau, China bersedia berganding bahu dengan DPRK untuk terus maju sambil menggalas aspirasi asal yang tidak dilupakan. Hubungan bilateral akan dipupuk secara sihat dan stabil dalam jangka panjang, demi rakyat dan negara serta kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau.

Xi turut membuat empat saranan mengenai perkembangan hubungan China-DPRK.

Xi yang melihat interaksi peringkat tinggi sebagai panduan dan penggalak penting hubungan bilateral selama ini, menyarankan agar keutamaan diberikan kepada pertemuan tersebut. Dalam situasi baharu ini, beliau bersedia mengekalkan komunikasi rapat dengan Kim melalui lawatan utusan khas serta surat-menyurat.

Saranan kedua beliau, mengekalkan komunikasi strategik yang terbukti berkesan sejak dahulu. Amalan bertukar-tukar pandangan mengenai isu penting merupakan tradisi baik antara kedua-dua parti. Wahana antara parti ini hendaklah dimanfaatkan untuk menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan komunikasi dan rasa saling mempercayai.

Ketiga, menggalakkan pembangunan secara damai. Kini sosialisme bercirikan China telah memasuki era baharu, begitu juga pembangunan sosialis DPRK. China bersedia bersama-sama DPRK menjunjung panji-panji keamanan dan merintis pembangunan dan kerjasama saling menguntungkan mengikut arus sezaman, bagi menambah baik kesejahteraan rakyat dan menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau.

Xi juga menyarankan asas persahabatan China-DPRK dalam kalangan rakyat diperkukuh. Usaha perlu dilakukanuntuk merancakkan pertukaran kalangan rakyat khususnya golongan muda, bagi memastikan ikatan yang sekian lama dibina terus diwarisi.

Kim Jong Un menganggap pandangan Xi Jinping mengenai persahabatan China-DPRK serta pengembangan hubungan dua parti dan dua negara amat memberangsangkan.

Kata beliau, ikatan muhibah antara DPRK dengan China yang dijalin dan dipupuk oleh pemimpin generasi lama tidak akan goyah. Meneruskan dan mengukuhkan ikatan persahabatan dengan China adalah pilihan strategik DPRK yang tidak akan berubah walau apa jua berlaku.

Kim memaklumkan bahawa lawatan beliau ini bertujuan mengatur pertemuan dengan komrad di China bagi meningkatkan komunikasi strategik dan mempererat persahabatan tradisional.

Beliau berharap akan diberi peluang bertemu Xi Jinping dengan lebih kerap pada masa depan, dan akan mengekalkan interaksi rapat melalui lawatan utusan khas serta surat-menyurat untuk membolehkan penyelarasan lebih cekap bagi pertemuan peringkat tinggi antara parti dan negara.

Dalam pertemuan kali ini, kedua-dua pemimpin saling memaklumkan situatsi domestik negara masing-masing. Xi Jinping menyatakan, Kongres Kebangsaan ke-19 PKC tahun lalu telah melakar cetak biru untuk membina China sebagai negara sosialis moden secara holistik.

Pelan telah dirangka untuk membangunkan masyarakat kaya secara menyeluruh menjelang tahun 2020, mewujudkan modenisasi sosialis pada asasnya menjelang tahun 2035, dan membina China sebagai negara sosialis moden yang kuat, kaya, demokratik, bertamadun, harmoni dan indah menjelang pertengahan abad ini.

PKC akan mengetuai perjuangan rakyat pelbagai etnik untuk terus maju hingga merealisikan impian kebangkitan semula nusa dan bangsa.

Kata Xi, China memberikan perhatian terhadap usaha gigih WPK di bawah pimpinan Kim Jong Un membangunkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, yang membuahkan hasil ketara dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

China mahu melihat suasana politik di DPRK stabil, pembangunan ekonomi sihat dan rakyat bahagia. China menyokong perjuangan sosialis yang dirintis WPK dengan pimpinan Kim Jong Un, serta kesungguhan DPRK memajukan ekonomi dan memperbaiki kehidupan rakyat.

Kim pula menyatakan, sejak Kongres Kebangsaan ke-18 PKC dahulu, Jawatankuasa Pusat PKC berteraskan Xi Jinping telah memperlihatkan keberanian politik dan sikap bertanggungjawab yang mengagumkan. Fikiran baharu yang diterapkan dalam pelaksanaan tindakan konkrit, membolehkan banyak masalah yang mencabar diselesaikan. Ini membuktikan jalan yang dirintis oleh PKC adalah betul dan sesuai dengan keadaan China.

Beliau turut mengulas tuntutan Xi Jinping agar PKC melaksanakan penyeliaan dalam dengan lebih berkesan dan mengetatkan tadbir urus parti secara menyeluruh, langkah yang memyumbang kepada pembangunan parti dan kepimpinannya dalam pelbagai bidang.

Kata Kim, seperti PKC, WKP juga sedang mengintensifkan usaha membanteras birokrasi dan rasuah.

Beliau berharap China terus mengecapi kejayaan dalam proses membangunkan masyarakat kaya secara menyeluruh dan membina diri sebagai negara sosialis moden yang kuat.

Kedua-dua pihak pula bertukar-tukar pendapat mengenai situasi antarabangsa dan Semenanjung Korea.

Xi Jinping menyatakan, situasi Semenanjung Korea menunjukkan kemajuan positif pada tahun ini. China menghargai usaha penting DPRK, dan sentiasa berusaha demi matlamat mewujudkan Sememanjung Korea yang bebas daripada senjata nuklear, menjaga kedamaian dan kestabilan, serta menyelesaikan masalah melalui dialog.

China menyeru semua pihak terlibat menyokong pemulihan hubungan antara utara dan selatan di Sememanjung Korea dan menggalakkan rundingan damai menerusi tindakan konkrit. China bersedia terus memainkan peranan membina dalam isu berkenaan, di samping berusaha bersama DPRK bagi mendorong situasi kian reda.

Kim pula menyatakan, kini situasi Semenanjung Korea mula berkembang ke arah baik. Pihaknya telah mengambil inisiatif untuk meredakan ketegangan dan mengemukakan cadangan berkaitan rundingan damai.

Kata beliau, mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear adalah pendirian DPRK, berdasarkan hasrat mendiang Pengerusi Kim Il Sung dan Setiausaha Agung Kim Jong Il.

Pihaknya komited menjadikan hubungan antara DPRK dengan Korea Selatan ikatan yang berteraskan perpaduan dan kerjasama, dan bersedia mengatur pertemuan pemimpin dengan Amerika Syarikat (AS) serta dialog utara-selatan.

Kim menambah, situasi Semenanjung Korea nescaya dapat diselesaikan sekiranya Korea Selatan dan AS membalas usaha DPRK dengan respons baik yang membawa kepada suasana tenteram dan stabil, sementara langkah progresif dan terselaras diambil untuk merealisasikan kedamaian.

Dalam proses tersebut, DPRK bersedia meningkatkan komunikasi strategik dengan China bagi mengekalkan dialog serta kedamaian dan kestabilan di Semananjung Korea.

Sebelum pertemuan tersebut, Xi telah mengadakan jamuan untuk meraikan kedatangan Kim Jong Un. Satu jamuan lagi telah diadakan oleh Xi dan Puan Peng susulan pertemuan itu.

Dalam ucapannya, Xi menyatakan bahawa lawatan Kim dan pasangan, diadakan bertepatan dengan musim bunga yang indah ketika seluruh alam mendapat hembusan nafas baharu, amat signifikan.

Lawatan tidak rasmi ini akan membolehkan kedua-dua pihak meningkatkan komunikasi, penyelarasan dan kerjasama, sekali gus membantu melonjakkan hubungan antara dua parti dan dua negara ke satu tahap baharu pada era baharu ini.

Kata Xi, beliau telah mengadakan pertemuan yang tulus ikhlas dengan suasana muhibah bersama Kim Jong Un. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa mewarisi dan mengembangkan persahabatan tradisional China-DPRK sesuai dengan kepentingan bersama, dan merupakan pilihan strategik bersama kedua-dua pihak.

Walau apa jua perubahan yang berlaku di rantau ini dan dunia, kedua-dua pihak akan mempertahankan momentum pembangunan global serta hubungan bilateral, mengukuhkan interaksi peringkat tinggi, mempergiat komunikasi strategik, sementara merancakkan pertukaran dan kerjasama, demi manfaat rakyat kedua-dua negara, malah seluruh dunia.

Kim Jong Un dalam ucapannya pula berkara, kini situasi Semenanjung Korea mengalami perubahan besar. Beliau mengatur lawatan ke China dengan membawa hasrat untuk menggalakkan kedamaian dan kestabilan Semenanjung Korea, serta mewarisi dan mengembangkan persahabatan DPRK-China.

Lawatan pertama Kim ke China ini memperlihatkan aspirasi beliau untuk meneruskan persahabatan tradisional kedua-dua negara, serta penghargaan yang diberikan terhadap ikatan tersebut.

Beliau berkata, pertemuan dengan Xi memberi peluang kepada beliau untuk bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan hubungan antara parti dan kerajaan kedua-dua negara, keadaan domestik negara masing-masing, serta usaha memelihara kedamaian dan kestabilan di Semenanjung Korea.

Beliau yakin pertemuan pertama dengan Xi pada musim bunga yang membawa kegembiraan dan harapan ini, akan membuahkan kemajuan positif.

Dalam rangka lawatan Kim, Xi Jinping dan Puan Peng Liyuan telah mengadakan jamuan tengah hari untuk Kim Jong Un dan Ri Sol Ju di Wisma Tamu Negara Diaoyutai.

Ujar Xi, Wisma Tamu Diaoyutai telah menjadi sakti kepada perkembangan persahabatan antara China dengan DPRK. Hbungan akrab antara pemimpin generasi lama parti dan kerajaan kedua-dua negara patut dijadikan teladan.

Xi dan Puan Peng Liyuan mengalu-alukan Kim Jong Un dan Ri Sol Ju mengadakan lagi lawatan ke China dari semasa ke semasa.

Kim yang menyifatkan persahabatan DPRK-China sebagai sangat berharga, menyatakan kesediaan untuk bersama-sama Setiausaha Agung Xi Jinping, mentaati hasrat pemimpin dahulu untuk mengukuhkan ikatan kedua-dua negara, yang tidak pernah goyah selama ini biar apa jua cabaran mendatang.

Kim Jong Un juga telah mengunjungi "pameran pencapaian inovasi Akademi Sains China Sejak Kongres Kebangsaan Ke-18 PKC". Beliau menyampaikan kekaguman terhadap pembangunan sains dan teknologi serta invoasi China.

Turut hadir ke aktiviti berkenaan, Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Ahli Sekretariat Jawatankuasa Pusat PKC, Ketua Pengarah Jabatan Am Jawatankuasa Pusat PKC, Ding Xuexiang; Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Yang Jiechi; Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Ahli Sekretariat Jawatankuasa Pusat PKC, Setiausaha Jawatankuasa Politik dan Hal Ehwal Perundangan Jawatankuasa Pusat PKC, Guo Shengkun; Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Ahli Sekretariat Jawatankuasa Pusat PKC, Ketua Jabatan Penerangan Jawatankuasa Pusat PKC, Huang Kunming; Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Setiausaha Jawatankuasa Bandar Beijing PKC, Caiqi; dan Ahli Dewan Negara, Menteri Luar China, Wang Yi.

Delegasi pengiring Kim Jong Un pula terdiri daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pusat WPK merangkap Ketua Jabatan Organisasi dan Panduan, Choe Ryong-hae; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pusat WPK merangkap Ketua Jabatan Propaganda dan Gerakan, Pak Kwang Ho; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pusat WPK merangkap Ketua Jabatan Antarabangsa, Ri Su Yong; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pusat WPK merangkap Ketua Jabatan Barisan Bersatu, Kim Yong Chol; dan Menteri Luar, Ri Yong Ho.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China