Forum Perdagangan dan Pelaburan "Jalur dan Laluan" (B&R) bakal diadakan di Beijing pada 12 April nanti, menurut pengumuman Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) semalam.
Forum anjuran bersama CCPIT, Dewan Perniagaan Antarabangsa China (CCOIC) dan Persekutuan Dewan Perniagaan Dunia (WCF) itu menarik penyertaan lebih 600 wakil dari 70 negara dan wilayah, dengan tema "meneroka potensi, berkongsi masa depan".
Berdasarkan statistik, import dan eksport China dengan pasaran baru muncul termasuk negara-negara B&R kian rancak pada bulan Januari dan Februari lalu. Antaranya perdagangan dengan negara-negara B&R mencatat RMB1.26 trilion (RM770 bilion), meningkat 21.9% berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama dan Pembangunan CCOIC, Sun Xiao menyatakan kerjasama perdagangan dan pelaburan B&R makin jelas pentingnya memandangkan momentum pertumbuhan ekonomi global masih lemah.
Langkah perlu diambil untuk menggalakkan globalisasi ekonomi yang lebih dinamik, inklusif dan mampan, kebebasan dan pemudahan perdagangan dan pelaburan, serta kerjasama saling menguntungkan di bawah inisiatif B&R.
Menyentuh ketegangan perdagangan antara China dengan AS, Ketua Setiausaha CCOIC, Yu Jianlong menyatakan amalan perlindungan perdagangan AS akan mengganggu order antarabangsa serta membawa kerugian yang tidak ternilai kepada industri dan pengguna kedua-dua negara.