Cari:
Tindak Balas, Satu-satunya Jalan
2018-04-08 13:47:23 CRI Cetak

Konflik ekonomi dan perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat (AS) yang makin memuncak menjadi tumpuan seluruh dunia pada masa ini.

Analisis oleh kumpulan pemikir terkenal, Forum 40 Tokoh Kewangan China menunjukkan konflik itu dicetuskan secara sepihak oleh AS, dan satu-satu jalan penyelesaian adalah dengan membalas sewajarnya.

Para pakar berkenaan turut mengulas bahawa China sedang berusaha memperkukuh kekuatan sendiri sambil berdepan cabaran mendatang.

AS baru-baru ini mengumumkan senarai tarif tambahan lagi terhadap produk China bernilai USD100 bilion (RM387 bilion), selepas senarai pertama USD 50 bilion (RM193 bilion) telah dibalas dengan tindakan sewajarnya oleh China. Susulan itu, China menyatakan tidak panik dan akan mengambil respons sekeras-kerasnya.

Anggota forum itu, Guo Kai menyatakan respons tersebut satu-satunya pilihan bagi China untuk menghadapi perang perdagangan yang dicetuskan AS berdasarkan "siasatan 301". Sebelum ini, kerajaan China berulang kali memberi amaran dan nasihat bahawa tiada pemenang dalam perang perdagangan.

Menyentuh isu defisit perdagangan AS, penyelidik kanan, Ha Jiming menekankan bahawa masalah itu berpunca daripada beberapa faktor.

Katanya, selepas China melaksanakan dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta menganggotai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), banyak pelabur mengalihkan tumpuan kepada negara ini hingga menjadikannya pangkalan pengeluaran dunia dengan nilai tambahan rendah. Nilai output yang tinggi membolehkan China menikmati lebihan perdagangan.

Pada masa yang sama, AS mengehadkan pengeksportan sesetengah produk terutamanya yang berteknologi tinggi. Ha Jiming percaya perdagangan antara AS dengan China akan lebih seimbang jika eksport produk AS tersebut diperluas.

Beliau menganggap tindakan menambah tarif tidak akan membantu AS menyelesaikan masalah defisit, dan perang perdagangan hanya akan menjejaskan kepentingannya sendiri.

Seorang lagi anggota forum itu, Guan Tao menegaskan bahawa pasaran berskala raksasa adalah kelebihan yang dimiliki China, yang sekali gus membolehkan negara ini menyumbang kepada sistem perdagangan multilateral global.

Selain mengambil langkah-langkah komprehensif baharu untuk mempertahankan kepentingan negara dan rakyat, China akan terus meningkatkan pembaharuan dan keterbukaan, memelihara sistem perdagangan multilateral, serta mendorong liberalisasi dan pemudahan perdagangan sejagat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China