Cari:
Inxu dan Perkataan yang Dipahat pada Karapas Kura-kura dan Tulang Binatang
2009-02-17 19:11:30 CRI Cetak

Kerana kebudayaan dan tamadun China sudah bersejarah selama beberapa ribu tahun, maka barangan peninggalan sejarah dan warisan budaya di bawah tanah China sangat banyak. Semenjak ilmu kaji purba zaman moden diperkenalkan dari Barat ke China pada abad ke-20, banyak penemuan arkeologi penting telah berlaku di China.

Di Bandar Anyang, Provinsi Henan, di tengah China terdapat satu tempat peninggalan sejarah yang termasyhur, iaitu Yinxu yang bermakna runtuhan ibu kota Dinasti Yin. Yinxu luasnya kira-kira 24 kilometer persegi. Menurut catatan sejaran, setelah Raja Dinasti Shang, Pan Geng memindahkan ibu kota dinasti itu dari Qufu Shandong ke sini pada tahun 1300 sebelum Masihi, iaitu zaman perhambaan, Yinxu terus menjadi ibu kota Dinasti Shang selama 300 tahun. Yinxu merupakan pusat politik, kebudayaan dan ekonomi zaman Dinasti Shang. Pada tahun 1046 sebelum Masihi, Raja Wu dari Dinasti Zhou telah mengalahkan Raja Zhou, raja terakhir Dinasti Shang dan menamatkan pemerintahan Dinasti Shang, lalu ibu kota ini menjadi runtuhan. Kerana Dinasti Shang juga dikenali sebagai Dinasti Yin, maka tempat ini dinamakan Yinxu. Yinxu merupakan ibu kota pertama pada zaman purba di China menurut catatan sejarah.

Penemuan Yinxu merupakan kejayaan besar sektor arkeologi China pada abad ke-20. Semenjak tahun 1928, banyak artifak, termasuk barang tembaga telah ditemui di Yinxu. Manakala salah satu penemuan yang paling penting dalam sejarah kaji purba dunia pula ialah penemuan perkataan yang dipahat pada kulit atau karapas kura-kura dan tulang binatang di Yinxu.

Perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang ini menggunakan huruf purba. Pada zaman Dinasti Shang, raja mesti melakukan penelahan sebelum melaksanakan perkara-perkara yang penting. Karapas kura-kura dan binatang merupakan alat untuk melakukan penelahan.

Ahli sihir yang mengawal penelahan itu memahat namanya, tarikh dan soalan yang ditanyakan pada karapas kura-kura atau tulang binatang itu. Kemudian dia membakar karapas tersebut. Retakan muncul pada karapas tersebut setelah dibakar. Ahli sihir itu mengkaji taburan retakan tersebut dan mendapat rumusan serta jawapan kepada soalan yang ditanya berdasarkan taburan retakan tersebut. Rumusan dan jawapan itu juga dipahat olehnya pada karapas dan tulang itu. Apabila penelahan tersebut dibuktikan selepas itu, karapas dan tulang tersebut disimpan sebagai bahan arkib rasmi. 

Sehingga kini, sebanyak lebih 160 ribu karapas kura-kura dan tulang binatang yang dipahat dengan perkataan telah ditemui di Yinxu. Antaranya ada yang utuh, dan ada yang hanya merupakan serpihan sahaja. Menurut kajian, perkataan yang dipahat pada karapas dan tulang tersebut berjumlah lebih 4 ribu. Lebih 3 ribu daripada perkataan tersebut telah dikaji oleh pakar kaji purba, manakala perkataan yang diketahui ertinya hanya berjumlah lebih seribu sahaja. Menerusi lebih seribu perkataan tersebut, pakar kaji purba telah mengetahui secara umum keadaan bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lainnya pada zaman Dinasti Shang.

Karya ilmiah khusus untuk mengkaji perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang yang paling awal ialah "Karapas Kura-kura" yang ditulis oleh Liu E pada tahun 1913. Manakala "Penyelidikan Perkataan yang Dipahat pada Karapas Kura-kura dan Tulang Binatang" yang dihasilkan oleh ahli sejarah dan sasterawan China yang terkenal Guo Moruo pada tahun 1929, merupakan karya ilmiah yang paling penting dalam bidang penyelidikan perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang. Pada masa ini, Profesor Qiu Xigui dari Universiti Peking dan Profesor Li Xueqin dari Institut Penyelidikan Sejarah China merupakan dua orang pakar pengkaji perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang yang paling ternama di China.

Selain perkataan yang dipahat pada karapas kura-kura dan tulang binatang, banyak artifak lain juga telah ditemui di Yinxu. Dalam masa lebih 70 tahun ini, lebih 50 buah tapak peninggalan istana diraja, rumah berhala dan bangunan-bangunan lain, 12 buah makam raja atau anggota keluarga diraja, ribuan buah kubur bangsawan dan rakyat jelata, 5 buah bengkel, dan lebih 30 buah makam yang mengandungi kuda dan pedati telah ditemui di Yinxu. Sejumlah besar barangan tembaga, jed, tembikar dan tulang telah dikeluarkan dari tempat-tempat peninggalan sejarah tersebut.

Yinxu telah disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO, PBB pada tahun 2006.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China