Gunung Tai yang teletak di provinsi Shandong di timur China disenaraikan sebagai Warisan Dunia pada tahun 1987. Jawatankuasa Warisan Dunia, dalam penilaiannya terhadap Gunung Tai, mengatakan, "Gunung Tai merupakan gunung yang dipuja oleh maharaja China selama 2 ribu tahun yang lalu. Di gunung ini, budaya tradisi hidup secara harmoni dengan pemandangan semula jadinya. Gunung Tai sentiasa menjadi sumber inspirasi sarjana dan seniman China dan juga merupakan lambang tamadun dan kepercayaan zaman purba China."
Gunung Tai digelar "gunung suci" oleh rakyat China semenjak zaman purba kala lagi. Menurut dongeng China, dunia dicipta oleh Pan Gu. Setelah Pan Gu meninggal dunia, tubuh badannya berubah menjadi 5 buah gunung yang terkenal di China, iaitu Gunung Tai di provinsi Shandong, di timur China; Gunung Heng di provinsi Shanxi, di utara China; Gunung Hua di provinsi Shaanxi, di barat China; Gunung Song di provinsi Henan, di tengah China; dan, Gunung Heng di provinsi Hunan, di selatan China. Kerana kepala Pan Gu berubah menjadi Gunung Tai, maka Gunung Tai merupakan gunung yang paling terkenal antara 5 buah gunung tersebut.
Gunung Tai tingginya lebih 1500 meter dari paras laut. Walaupun gunung itu bukan gunung yang paling tinggi antara kelima-lima buah gunung tersebut, tetapi disebabkan Gunung Tai terletak di kawasan dataran, jadi gunung itu kelihatan sangat tinggi. Gunung ini panjangnya lebih 200 kilometer dan luasnya mencatat lebih 400 kilometer persegi. Gunungnya besar dan batu di gunung ini keras. Itulah sebabnya simpulan bahasa yang terkenal dalam bahasa Mandarin, iaitu "sestabil Gunung Tai" dan "seberat Gunung Tai" digunakan terus sampai sekarang.
Pemandangan di Gunung Tai sangat indah. Gunung yang megah, batu besar yang beraneka bentuk, pohon cemara yang bersejarah lama, lebih-lebih lagi pemandangan ketika matahari terbit pada waktu pagi di puncak gunung ini telah menarik ramai pelancong ke sini.
Gunung Tai merupakan lambang kuasa diraja dalam sejarah China. Ini juga merupakan keunikan gunung ini. Menurut catatan sejarah, semenjak 3 ribu tahun yang lalu, maharaja China telah mula memuja dewa langit dan bumi di Gunung Tai kerana mereka hendak menjelaskan bahawa kuasa mereka adalah diberikan oleh dewa langit dan bumi. Lama kelamaan, Gunung Tai menjadi lambang kestabilan masyarakat, kekukuhan kuasa, kemakmuran negara dan perpaduan bangsa China.
Dengan aktiviti pemujaan yang dilakukan oleh maharaja dalam pelbagai dinasti China, maka banyaklah bangunan purba seperti kuil, patung dewa dan batu peringatan dibina di gunung ini Sekian ramai pujangga dan ahli kaligrafi yang terkenal telah meninggalkan lebih 2 ribu buah artikel dan ukiran kaligrafi mereka di sini, Gunung Tai menjadi muzium kaligrafi dan seni pahatan batu zaman purba. Di Gunung Tai terdapat kira-kira 100 tempat peninggalan sejarah, antaranya lebih 20 kompleks bangunan purba. Dewan Tiandian di Rumah Berhala Daimiao di sini sama masyhurnya dengan Dewan Taihe di Kota Larangan Beijing. Kesemua ini menjadikan Gunung Tai pusat khazanah budaya purba yang bernilai tinggi di China.
Pemandangan alam yang indah digabungkan dengan kebudayaan purba yang cukup kaya, ini, menyebabkan Gunung Tai kedudukan pertama antara 9 buah Warisan Dunia Bersepadu yang diiktiraf oleh UNESCO, PBB pada tahun 1988. Setelah membuat tinjauan ke Gunung Tai pada bulan Mei tahun 1987, pakar Persatuan Warisan Alam UNESCO, PBB, Tuan Lucas telah memberikan penilaian beliau terhadap gunung tersebut dengan berkata, "Warisan dunia mempunyai keistimewaan yang berbeza-beza, sama ada warisan alam ataupun warisan budaya. Jarang sekali, sebuah kawasan perlindungan mempunyai warisan dunia yang memiliki kedua-dua nilai ini seperti Gunung Tai. Ini bermakna China telah menyumbangkan satu warisan dunia yang unik."