Cari:
Luoyang, Satu Lagi Bandar Purba yang Cemerlang dalam Sejarah China
2011-06-03 16:32:11 CRI Cetak
 

Memang sudah lama saya tertarik oleh Luoyang, kota purba yang terkenal dan mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah China. Jadi, dalam rancangan saya melawat Henan pada tahun 2009, Luoyang sewajarnya disenaraikan sebagai destinasi utama selepas Kaifeng, kota purba pertama saya lawati dalam perjalanan itu.

Luoyang yang terletak di Provinsi Henan di tengah China merupakan satu daripada 8 buah bandar ibu negara purba yang paling terkenal di China. 7 buah bandar yang lain ialah Zhengzhou dan Anyang dari Henan, Xi'an dari Shaanxi, Kaifeng dari Henan, Nanjing dari Jiangsu, Hangzhou dari Zhejiang dan Beijing. Luoyang menduduki tempat pertama antara 8 buah bandar tersebut. Ia juga merupakan satu antara 4 buah bandar suci yang masyhur di dunia, selain daripada Baitulmuqaddis, Mekah dan Athens. Ia menduduki tempat ke-3 antara keempat-empat bandar itu. Luoyang menduduki tempat pertama antara 8 buah bandar ibu negara purba yang paling terkenal di China kerana ia menjadi ibu negara yang paling awal, jumlah dinasti yang menubuhkan ibu negara di sana yang paling banyak, dan masa menjadi ibu negara yang paling panjang.

Luoyang terletak di tebing utara Sungai Luo. Kawasan di sekitar Luoyang merupakan tempat asal budaya dan tamadun China, maka Luoyang merupakan buaian bangsa China.

Luoyang dijadikan sebagai ibu negara sekurang-kurangnya bagi 15 dinasti pada zaman purba di China. Ia, mula-mulanya, dijadikan sebagai ibu negara pada zaman Dinasti Xia, yang wujud pada tahun 2070 sebelum Masihi hingga tahun 1600 sebelum Masihi. Seterusnya, ia merupakan ibu negara bagi Dinasti Shang, Zhou, Han, Wei, Jin, Sui, Tang dan lain-lainnya. Ia menjadi ibu negara bagi beberapa banyak dinasti China bagi jangka masa lebih 1500 tahun.

Pada zaman Dinasti-dinasti Han dan Wei, Luoyang telah menjadi bandar besar yang ternama di dunia. Pada zaman Dinasti-dinasti Sui dan Tang, jumlah penduduk di Luoyang telah melebihi sejuta orang. Luoyang pernah mejadi pusat politik, budaya dan ekonomi China dalam suatu jangka masa yang cukup panjang.

Luoyang merupakan bandar budaya sejarah kumpulan pertama yang disenaraikan oleh Dewan Negara. Sejarah yang lama, sumber budaya tradisional yang kaya-raya dan tapak peninggalan sejarah yang begitu banyak telah menarik para pelancong dari dalam dan luar negeri.

Apa yang paling menarik para pelancong di Luoyang ialah Groto Longmen dan Kuil Baima.

Groto Longmen yang disenaraikan sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO, PBB pada tahun 2000 sudah saya perkenalkan secara menyeluruh dalam blog saya pada Mei lalu, jadi saya tidak mengulangi perkenalan mengenainya di sini lagi.

Selain Groto Longmen, Kuil Baima di Luoyang pula terkenal kerana ia merupakan kuil agama Buddha pertama yang dibina oleh kerajaan pusat selepas agama ini disebarkan ke China. Kuil ini dibina pada tahun 68 Masihi, iaitu dalam zaman Dinasti Han Timur, dan sudah berusia hampir 2000 tahun. Nama kuil ini, iaitu Baima, bermakna "kuda putih". Menurut catatan sejarah, pada tahun 67 Masihi, Maharaja Liu Zhuang dari Dinasti Han Timur menghantar 13 orang utusannya menziarahi India untuk mengkaji agama Buddha. Kemudian baginda memerintahkan supaya dibina kuil Buddha yang pertama di ibu Negara, Luoyang, bagi menyambut kepulangan utusan tersebut bersama-sama sami yang tersohor di India yang diundang untuk datang ke Luoyang. Kitab agama Buddha dan arca Buddha yang dibawa dari India oleh utusan itu juga disimpan dalam kuil ini. Kerana kitab dan arca Buddha tersebut diangkut oleh kuda putih, maka kuil ini dinamakan Kuil Baima, iaitu Kuda Putih. Kuil ini, hingga kini, dianggap sebagai tempat asal yang suci bagi penganut agama Buddha di China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China