Cari:
Hari Ini Dalam Sejarah Perang Menentang Pencerobohan Jepun: 28 Januari, Pertempuran Songhu
2015-01-28 15:38:39 CRI Cetak

Pada hari ini dalam tahun 1932, Pertempuran Songhu tercetus antara China dengan Jepun.

Untuk mengalih perhatian kuasa Barat dari pencerobohan Jepun di timur laut China, serta mendesak kerajaan Kuomintang mengiktiraf pendudukan Jepun di kawasan tersebut, tentera penceroboh Jepun memutuskan untuk melancarkan serangan di Shanghai. Pada 18 Januari 1932, lima orang warga Jepun memprovokasi askar sukarela di Shanghai hingga menimbulkan pergaduhan. Kerajaan Jepun kemudiannya mendakwa seorang warga Jepun maut akibat pergaduhan tersebut.

Berikutan insiden itu, Konsulat Jepun di Shanghai mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan bandar Shanghai, termasuk menuntut permohonan maaf, menghukum pembunuh, memberi pampasan dan membubar kumpulan anti-Jepun. Pada 27 Januari, Konsul Besar Jepun ke Shanghai mengeluarkan kata dua kepada Datuk Bandar Shanghai, Wu Tiecheng supaya memberi jawapan yang memuaskan sebelum pukul 6 petang 28 haribulan, jika tidak, mereka akan mengambil tindakan.

Pada 28 haribulan, Datuk Bandar Wu Tiecheng menyatakan menerima sepenuhnya tuntutan Jepun tersebut. Bagaimanapun, tentera Jepun telah menyerang Zhabei dari tiga arah, dan menawan Hentian Tiantong'an dan Stesen Kereta Api Utara Shanghai. Pasukan Tentera ke-19 China di Shanghai membalas serangan Jepun di bawah pimpinan Jiang Guangnai dan Cai Tingkai. Tentera yang mempertahankan Zhabei menang dalam pertempuran pertama.

Pada pertengahan Februari, serangan kedua Jepun juga berjaya dipatahkan.

Sebelum serangan baharu dilancarkan, tentera China bertambah kuat dengan kemunculan satu pasukan yang dilengkapi senjata buatan Jerman. Pasukan tersebut ialah Pasukan Tentera ke-5 yang diketuai oleh Jeneral Zhang Zhizhong.

Pada 20 Februari, tentera Jepun melancarkan serangan ketiga. Selepas bertempur selama enam hari, Pasukan Tentera ke-19 China telah menembak mati dan mencederakan lebih tiga ribu tentera musuh. Kerajaan Jepun yang mengalami kerugian besar terpaksa menukar panglima besar tenteranya tiga kali. Hingga penghujung Februari, kekuatan tentera Jepun di Shanghai telah bertambah kepada 90 ribu askar, 80 kapal perang dan lebih 300 pesawat pejuang. Manakala tentera China semakin lemah dengan hanya 40 ribu askar yang dilengkapi senjata yang ketinggalan.

Pada 1 Mac, berlakunya serangan keempat oleh tentera Jepun. Pasukan Tentera ke-19 dan ke-5 yang tidak berupaya menghalang kemaraan Jepun tanpa bantuan, berundur ke barisan Taicang-Jiading. Pertempuran ini berakhir pada keesokan harinya dengan kemenangan Jepun.

Pertempuran Songhu yang berlarutan lebih 30 hari itu membantutkan hasrat Jepun untuk menakluki China secara pantas. Berikutan campur tangan kuasa Barat, China terpaksa menandatangani Perjanjian Gencatan Senjata yang berat sebelah pada 5 Mei, yang mengakibatkan China kehilangan hak untuk menempatkan pasukan tentera di kawasan Songhu.

Peristiwa ini menimbulkan kemarahan seluruh rakyat China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China