Selamat Aidiladha, hari suci mulia, semoga berbahagia, hidup aman sentosa... lalala
Itu petikan lagu nyanyian penyanyi tersohor Malaysia, seniman D.J Dave. Menjelang kedatangan Hari Raya Aidiladha, suasana sibuk di segenap pelusuk tanah air yang jauh di sana turut terasa di bandar Kashgar, Wilayah Xinjiang ini yang majoriti penduduknya ialah masyarakat Uygur beragama Islam.
Cara urus niaga penjualan bebiri di sini senyap tanpa suara, hanya menggunakan isyarat jari.
Di sana-sini penduduk bandar Kashgar mundar-mandir, berhimpit-himpit, bertolak-tolakan dan gembira membeli-belah persiapan menyambut hari yang penuh bermakna untuk umat Islam ini. Sambutan Hari Raya Korban di Kashgar dikatakan lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri. Warga Malaysia yang sekarang ini sedang berkelana di bumi Kashgar ini pun turut dilanda rasa cemas seakan takut tidak sempat mendapatkan barang persiapan.
Penjual produk bulu ini sedang membersihkan topi menggunakan habuk kayu.
Mujur pemandu pelancong dapat meneka isi hati dan mampu membaca riak wajah pelancong dari Malaysia ini. Maka semua pelancong ini dibawa ke Bazar Kashgar untuk melaksanakan operasi mengurangkan berat tas tangan mereka. Alasan dayang-dayang dalam rombongan wartawan Malaysia ini, "Dahlah tak dapat jamah ketupat daun palas cicah rendang ayam Mak Cik Zubaidah, takkan nak beli tudung, selendang, kain ela, kain sutera yang lembut macam kulit Fazura, kasut tiga pasang dan lain-lain lagi pun tak boleh?"
Bazar Kashgar dibuka bermula pukul 10.30 pagi hingga 9.30 malam pada setiap hari tanpa henti. Pengunjung yang datang ke sini dijangka seramai kira-kira 10,000 orang pada setiap hari. Hasil perbincangan ringkas dua hala yang dilakukan, penganjur rombongan berdiplomasi dengan memberi kebebasan kepada ahli rombongan untuk mencari nikmat dunia di bazar terbesar di bandar Kashgar ini. Namun, amaran diberi supaya sesi terapi ini tidak melebihi dua jam.
Walaupun kebanyakan pakaian di sini kurang sesuai dengan iklim Malaysia, tapi ia boleh dibeli untuk ambil hati ibu mertua.
Terdapat ribuan gerai menjual pashmina, produk kain, barangan logam, hasil kraf tangan, rempah-ratus, buah-buahan dan topi bulu memerang. Saya menyusuri lorong-lorong di sini untuk mencari unta yang mahu dijual, tetapi tiada. Maaflah kepada rakan di Malaysia yang mengirimnya, tiada unta yang didagang tetapi hanya ada banyak kambing biri-biri untuk ditukar milik. Kambing biri-biri hidup yang gebu bulunya ini dijual secara berleluasa di serata tempat di dalam bandar Kashgar. Andai saya seorang hartawan, sudah pasti seekor atau lima ekor pun tiada masalah untuk saya sedekahkan kepada penduduk di sini.
Gunakan helah merajuk dengan harga yang ditetapkan penjual untuk lebih jimat.
Cukuplah setakat ini dulu, maaflah andai coretan ini agak emosional dan sentimental. Hal ini kerana lagu Suara Takbir nyanyian Saleem di mp3 mengganggu tumpuan penulis. Kashgar memang ada jiwa yang tersendiri dan pengalaman ini perlu dikongsi.
(Mohd Fuad Mansor, wartawan Kumpulan Karangkraf)