Cari:
Abdul Ghani Abu: Hang Tuah bertemu Laksamana Cheng Ho di Yinchuan
2011-11-07 13:42:02 CRI Cetak

Ningxia – Keledek rebus, labu stim dan susu masam menjadi menu sarapan pilihan penulis pagi ini. Sungguh manis dan enak rasanya! Kali ini, kopi rasanya manis kerana dibubuh gula. Penulis dan wartawan Indonesia, Bapak Nandang Karyadi Putra dari Radio Elshinta, tidak buat silap lagi, hirup kopi dengan penuh kesegaran dan kemanisan, tidak masin seperti di Kashgar.

Pagi ini rombongan Kembara Muslim 2011 dipertemukan dengan dua individu penting yang mengawal selia pembangunan masyarakat Muslim Etnik Hui di Ningxia, dalam satu sesi wawancara khas. Li Wenming, Timbalan Ketua, Majlis Hal Ehwal Etnik dan Agama Wilayah Autonomi Etnik Hui, Ningxia; Wang Shengjin, Pengarah Pusat Pensijilan Makanan Halal China-Ningxia; dan Chang Jiang, Pengarah Pusat Berita CRI hadir dalam wawancara ini.


Li Wenming (kanan) dan Wang Shengjun (kiri)

Wilayah Ningxia berkeluasan 664,000 kilometer persegi dan mempunyai jumlah penduduk 6.3 juta orang. Etnik Hui yang mendiami wilayah ini ialah sebanyak 2.2 juta orang atau 36 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Ningxia. Pertumbuhan ekonomi Ningxia amat memberangsangkan, iaitu 13 peratus setiap tahun. Pada tahun lalu Keluaran Negara Kasar mencatatkan pendapatan sebanyak 160 bilion Yuan. Sumber semula jadi Ningxia penuh dengan industri batu-bata, dan merupakan salah satu daripada enam lokasi yang menjadi sumber utama bekalan tenaga di China. Di samping itu, terdapat industri pengeluaran tumbuh-tumbuhan dan hasil pertanian.

Industri pengangkutan di Ningxia juga berkembang pesat khususnya dengan pembinaan lebuh raya, jalan kereta api dan laluan penerbangan udara. Seiring dengan dasar pintu terbuka China, Ningxia menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Islam khususnya negara Arab. Sejarah perdagangan melalui laluan sutera terus memangkinkan perkembangan ekonomi moden di Ningxia. Meskipun jika dibandingkan dengan pertumbuhan ekonomi di wilayah-wilayah lain di China, pertumbuhan ekonomi Ningxia agak perlahan sedikit tetapi corak pertumbuhannya amat baik.

Li Wen Ming baharu setahun memegang jawatannya sekarang. Menurutnya, dalam tempoh lima hingga enam tahun kebelakangan ini hubungan Ningxia dengan negara Islam amat progresif. Dalam hal hubungan Ningxia dengan Malaysia, Li menjelaskan sudah ada syarikat dari Malaysia yang melabur di Ningxia bagi mengembangkan industri halal di sini.

Bercakap tentang peranan Majlis Hal Ehwal Etnik dan Agama, Li menjelaskan majlis ini merupakan agensi penting kerajaan China dalam menangani pelbagai isu agama dan etnik, bukan sahaja meliputi etnik Hui tetapi etnik-etnik lain yang tinggal di Ningxia. Majlis ini berperanan menggalakkan dan membangunkan pendidikan dan kebudayaan untuk semua etnik. Menurutnya di Ningxia terdapat beberapa fahaman agama seperti Islam, Buddha dan Taoisme. Dalam memelihara kesucian Islam, di China terdapat Kesatuan Agama Islam yang membantu masyarakat Muslim dalam hal agama Islam.

1 2 3 4 5
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China