Cari:
Kurniawati: Masih Terasa Dekat...
2011-11-15 12:33:23 CRI Cetak

Walaupun sudah tiga hari kembali ke Malaysia, namun ingatan saya tetap segar mengingati tiap kenangan yang dilalui sepanjang Kembara Muslim China 2011 yang berakhir pada Jumaat lepas.


Di Makam Apak Hoja, Kashgar, Xinjiang

Saya masih terbayangkan menu kambing yang menjadi hidangan setiap hari sepanjang di China. Walaupun agak jemu menikmatinya selama 11 hari itu, namun ia tetap menjadi sebahagian kenangan terindah di sana, terutama apabila teringat bagaimana melihat ada rakan-rakan media lain yang merasa agak tertekan hingga tidak mampu untuk menelannya lagi terutama saat-saat akhir kembara itu.

Hati juga masih terbayang-bayang, kenangan membeli belah di Kanshgar, dan saya tanamkan tekad, satu hari nanti, jika berpeluang pasti saya mahu ke sana lagi untuk membelas dendam membeli pelbagai barang yang saya rasa sangat berbaloi harganya. Tidak puas rasanya membeli belah di pasar besar Kashgar yang menyediakan pelbagai barangan yang menepati citarasa terutama kasut kulit yang menjadi kegilaan, begitu juga dengan pelbagai tudung dan selendang serta buah-buahan kering seperti kismis dan kekacang yang tidak sempat dibeli dalam tempoh singkat di sana tempohari.

Begitu juga di Ningxia, tea istimewa Ningxia serta buah goji terbaik dari sana yang dijadikan bekalan buah tangan untuk rakan-rakan Malaysia membangkitkan kenangan terutama teringat keramahan keluarga muslim etnik Hui, ketika menyambut Aidiladha di sana.


Di Masjid Eidgah, Kashgar, Xinjiang

Hati juga rasa begitu dekat dengan jasa baik 'orang-orang kuat" CRI seperti Puspa, Satria dan Puan Noraini yang banyak melicinkan perjalanan pengembaraan rombongan media Malaysia dan Indonesia. Teringat-ingat kata-kata lembut yang dituturkan oleh Satria, dan Puspa yang menggunakan bahasa baku atau bahasa buku yang di Malaysia sendiri jarang digunakan kecuali semasa belajar Bahasa Melayu di dalam kelas. Sungguh tinggi budi bahasa mereka dan yang paling tidak dapat dilupakan kenangan menikmati nasi lemak yang disediakan oleh puan Noraini setelah 11 hari tidak menikmatinya sepanjang berada di China. Rasanya tidak jauh berbeza walaupun tahu bahan-bahan yang dihasilkan mungkin tidak sesegar yang ada di Malaysia. Menu nasi lemak ayam goreng, sambal udang serta nasi impit dan kuah kacang rasanya terlalu mewah buat saya dan dua rakan media lain iaitu Abul Ghani Abu dan Mohd Fuad. Terima kasih sekali lagi kepada puan Noraini atas jasa baik yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Bila melihat kembali gambar-gambar tiap kenangan yang dirakamkan di sana, hari terbuai dan tersenyum sendiri... sesungguhnya benarlah kata orang ' "gambar itu menceritakan seribu makna" yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit dan hanya orang yang melalui kenangan itu mengetahui makna sebenar di sebaliknya.

Saya gambarkan semua perasaan itu melalui kata-kata ini di malam jamuan perpisahan Kembara Muslim..

Mula tiba di lapangan terbang hati rasa gembira,
melihat Puspa dan Satria menyambut penuh ceria,
ketika itu terus hilang gemuruh di dada,
keletihan yang dirasa berganti teruja,
rasa tidak sabar mahu memulakan kembara.

Sepanjang sepuluh hari bersama,
perut kenyang tidak terkata,
dihidang makanan enak-enak belaka,
dengan kambing menu utamanya ,
walau ada yang kurang berselera,
namun tetap ditelan jua.

Naik turun kapal terbang dari Ningxia ke Xinjiang,
buat hati rasa girang,
terutama melihat Islam terus berkembang,
dengan sejarahnya yang panjang,
hati rasa kagum dengan China yang gemilang.

Kami dibawa melawat merata-rata,
dari masjid hingga ke pasarnya,
untuk mengenal adat resam dan budaya mereka,
masyarakat Uygur sememangnya amat istimewa,
pasti saya tak lupa,
tambahan dengan pemandu pelancongnya yang jelita.

Tiga hari di Kashgar,
terbang kami ke Ningxia pula,
mengenal etnik Hui di sana,
mereka juga tidak kurang ramahnya,
menerima kedatangan kami dengan amat mesra,
hingga tdak terbals rasanya.

Walau pemodenan di mana-mana,
namun akidah tetap terpelihata,
kota sejarah utuh dijaga,
menunjukkan nasib orang Islam di China terus terbela,
Semoga mereka terus hidup dengan amannya serta diberkati sentiasa.

Buat CRI dan juga stafnyua,
kalian senyum di mana-mana,
sabar melayan kami semua,
hingga buat kami cukup selesa,
rasa rindu pada semua,
entah bila kita akan bersua,
semoga kembara muslim menjadi penghubung silaturrahim kita...

Kurniawati Kamarudin,
Bernama, Kuala Lumpur

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China