Cari:
Menghayati Keharmonian Masyarakat Majmuk di Malaysia
2009-07-06 14:23:20 CRI Cetak

(Oleh Zhang Hong / Satria)

Meskipun sudah bekerja dengan menggunakan bahasa Melayu selama lima tahun, dan telah mendapat banyak maklumat tentang negara tropikal ini melalui buku teks, akhbar, internet dan pelbagai saluran yang lain, namun, disebabkan belum menyaksikan keadaan sebenarnya dengan mata sendiri, Malaysia menjadi sebuah negara yang akrab di hati dan pada masa yang sama, terasing bagi saya. Sangkutan selama 20 hari ke RTM ini memberikan peluang baik kepada saya untuk memahami masyarakat majmuk di Malaysia.

Cuaca di Malaysia memang cukup panas, rakyat Malaysia pula cukup ramah. Bukan hanya rakan-rakan di RTM yang telah memberikan sambutan yang hangat terhadap kedatangan kami, orang ramai yang kami temui di jalan-jalan pun telah memperlihatkan keramahan mereka. Ketika kami sesat di jalan dan bertanya-tanya kepada orang tempatan, mereka, baik orang Cina, orang Melayu, mahupun orang India pasti memberikan senyuman kepada kami. Ketika mengetahui kami datang dari negeri China, tetapi dapat bercakap dalam bahasa Melayu, mereka berasa sangat terkejut dan hubungan antara kami dengan mereka dapat dirasai menjadi akrab dengan begitu segera. Semua orang Malaysia yang kami temui sedia memberikan bantuan kepada kami, bahkan, ada antaranya memandang kami seperti ahli keluarga mereka. Mereka membawa kami ke rumah, memperkenalkan kami kepada keluarga mereka, membawa kami melawat ke negeri Melaka yang mempunyai sejarah yang lama dan sangat terkenal di dunia. Kami juga diraikan dengan pelbagai jenis masakan yang sangat unik di Malaysia dan mencuba durian yang jauh lebih enak daripada yang pernah saya makan di China.

Dengan bertambahnya rakan kami di Malaysia, fahaman kami terhadap masyarakat majmuk Malaysia juga beransur-ansur menjadi mendalam. Masyarakat Malaysia terutamanya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Jika dipandang dari warna kulit, ketiga-tiga kaum tersebut tidak mungkin mengelirukan. Agama yang dianuti mereka pun berbeza. Pada pandangan saya, untuk menyatupadukan ketiga-tiga kaum tersebut pasti menjadi cabaran besar bagi sesiapa pun.

Setibanya kami di Kuala Lumpur, saya dapati slogan "Satu Malaysia" yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dapat dilihat di mana-mana. Dulu, pada pendapat saya, ini hanya sejenis propaganda kerajaan. Namun, setelah menghadiri sebuah upacara perkhawinan orang Melayu di Kuala Lumpur, dan melihat ramai orang Cina dan orang India, sebagai rakan kepada keluarga pengantin, datang untuk sama-sama meraikan dan mengucapkan "selamat pengantin baru", saya menyedari bahawa "Satu Malaysia" sebenarnya bukan slogan yang dipromosi oleh kerajaan sahaja, malah, ia mencerminkan keadaan sebenarnya dalam masyarakat di Malaysia pada masa ini. Konsep "Satu Malaysia" memang telah bersemadi dalam hati setiap warga negara itu. Meskipun Malaysia masih menghadapi pelbagai cabaran dari segi ekonomi, sosial dan lain-lain, saya yakin, jika masyarakat Malaysia dapat mengetepikan pelbagai perselisihan dan bersatu padu seperti sekeluarga, cabaran apa jua pun tidak mungkin menggugat kemakmuran Malaysia.

China dan Malaysia merupakan dua negara yang berpengaruh besar, bukan sahaja di rantau ini, bahkan di seluruh dunia. Kerajaan dan rakyat China sangat menghargai persabahatan dengan Malaysia dan juga menilai tinggi dasar Perdana Menteri, Dato' Sri Najib yang mengekalkan hubungan diplomatik yang positif dan mantap dengan China yang dimulakan oleh bapanya, Tun Abdul Razak 35 tahun yang lalu. Untuk meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan ini, usaha mendorong sikap saling memahami antara rakyat kedua-dua negara menjadi semakin penting. Matlamat sangkutan kami kali ini bukan sahaja untuk memahami masyarakat majmuk di Malaysia, malah untuk mendorong kerjasama antara Radio Antarabangsa China (CRI) dengan RTM. Pihak kami berharap, dengan usaha bersama RTM dan CRI, satu jambatan persahabatan di udara dapat dibina untuk meningkatkan sikap saling memahami serta mempererat persahabatan antara masyarakat kedua-dua negara.

Ada peribahasa yang berbunyi "Jauh di mata, dekat di hati." Sangkutan selama 20 hari ini memang agak pendek bagi kami. Namun saya yakin, dengan usaha pelbagai pihak, dan sokongan kerajaan kedua-dua negara, kerjasama dan pertukaran antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang yang semakin kerap berlaku pada masa ini pasti akan membawa manfaat bagi rakyat kedua-dua negara. Apabila kami pulang, kami tidak akan melupakan RTM dan Malaysia. Kami akan berusaha menghayati dan merealisasikan peribahasa yang di atas.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China