Cari:
Sumber pelancongan di Taman Tanah Paya Negara Xixi di Bandar Hangzhou
2010-01-27 14:55:00 CRI Cetak

Mohon penjelasan mengenai Hangzhou Xixi National Wetland Park . Apa hal-hal yang menarik di kawasan tersebut?

Suwito dari Bandung Indonesia

Hi, Encik Suwito:

Terletak hanya 5 kilometer sahaja di bahagian barat Bandaraya Hangzhou ialah Taman Tanah Paya Negara Xixi, sebuah kawasan tanah paya sekunder yang jarang didapati di dalam bandaraya. Kawasan tanah paya Xixi yang dinamakan sebagai taman tanah paya negara pertama di China pada bulan Februari 2005 dengan jumlah keluasannya 10.08 kilometer persegi, dan 3.46 kilometer persegi daripadanya adalah projek perlindungan penggal pertama yang telah dibuka kepada para pelancong. Taman itu dilengkapi dengan 3 kawasan, iaitu kawasan pemeliharaan tanah paya yang tertutup di bahagian timur yang berfungsi untuk memelihara dan memulihara tanah paya dan tanah berpaya primitif. Kawasan perlindungan pemandangan ekologi tanah paya di bahagian barat pula berfungsi untuk memelihara tanah paya primitif dan kawasan tanah paya lawatan santai di bahagian tengah. Laluan pelancongan yang mengelilingi taman itu adalah sepanjang kira-kira 8 kilometer yang mengambil masa 3 jam setengah dengan berjalan kaki.  

Taman Tanah Paya Negara Xixi yang terletak di kawasan beriklim monsun subtropika ini mempunyai empat musim dalam setahun dengan mendapat cahaya matahari dan hujan yang cukup. Taman ini merupakan sebuah taman ekologi yang menggabungkan sumber ekologi yang kaya, pemandangan alam semula jadi yang sederhana dan budaya lama China.

Keunikan pemandangan alam semula jadi di Taman Tanah Paya Negara Xixi adalah keindahan pemandangan airnya kerana kira-kira 70% daripada jumlah keluasan taman itu merupakan kawasan perairan seperti pangkalan sungai, kolam, tasik dan tanah paya. Terdapat 6 batang sungai yang mengalir melalui taman ini menjadikan pemandangan amat unik. Usaha melindungi ekologi diutamakan di taman ini. Bukan sahaja terdapat 3 kawasan pemeliharaan ekologi dan kawasan pemuliharaan ekologi, malah terdapat 3 kolam pemuliharaan biologi dan satu kawasan bagi para pelancong untuk menikmati pemandangan ekologi tanah paya. Di samping itu, taman ini juga adalah syurga bagi burung. Sebanyak 89 spesies burung pantai telah dirakamkan di taman ini dan para pelancong boleh melihat burung-burung tersebut di banyak pavilion menyaksikan burung yang telah dibina. Selain itu, terdapat lebih 200 jenis tumbuh-tumbuhan di taman ini.

Sejarah budaya sudah wujud sekian lama di kawasan Xixi kerana para sasterawan telah menjadikan kawasan ini sebagai tempat untuk mereka melarikan diri daripada kebisingan dan gangguan sejak zaman kuno lagi. Sasterawan tersebut bukan sahaja membina rumah kediaman masing-masing yang kini menjadi tempat pelancongan di taman ini, malah menulis sejumlah besar syair dan karya untuk melukiskan keindahan dan keamanan kawasan ini. Terdapat juga sebuah pentas lama di kawasan Xixi. Dikatakan seniman drama Yue pernah mempersembahkan drama buat kali pertama di pentas tersebut. Adat resam penduduk tempatan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri. Aktiviti pertandingan perahu naga yang sudah wujud lebih 1,000 tahun turut diadakan di kawasan Xixi pada Hari Raya Perahu Naga setiap tahun.

Tanah Paya berfungsi memelihara sumber air, menulenkan dan memperbaiki kualiti air, mencegah banjir, melindungi persekitaran dan menyeimbangkan iklim. Namun, disebabkan perubahan ekologi tanah paya, pengaruh aktiviti manusia, lebih-lebih lagi, pembangunan sosioekonomi tempatan, maka persekitaran ekologi di kawasan tanah paya Xixi yang sudah wujud sejak lebih 1800 tahun ini terjejas. Misalnya, jumlah keluasan tanah paya semakin berkurangan, pelepasan sampah sarap dan air kumbahan oleh penduduk tempatan terus mencemarkan persekitaran. Di samping itu, tapak dan hasil peninggalan sejarah di kawasan ini juga turut terjejas, jumlah papan ukiran dan batu bersurat yang mengandungi kaligrafi atau syair karya sasterawan zaman kuno semakin hilang.

Untuk melindungi dengan berkesan tanah paya Xixi, pada bulan Ogos 2003, kerajaan tempatan telah memulakan projek perlindungan bersepadu yang berdasarkan prinsip "mengutamakan usaha perlindungan ekologi, menjalankan projek pembangunan pada tahap minimum, menumpukan perhatian terhadap kebudayaan, mengutamakan kepentingan manusia dan pembangunan secara berterusan", memindahkan penghuni tempatan ke tempat lain, membersihkan saluran sungai, menanam semula rumput dan pokok, mengubahsuai perumahan dan lain-lain lagi untuk memelihara dan memulihara secara saintifik sistem air, bentuk muka bumi, sumber haiwan dan tumbuh-tumbuhan, serta artifak adat resam penduduk tempatan, tapak dan hasil peninggalan sejarah. Selain itu, tindakan juga diambil bagi mengawal jumlah pelancong yang melawat Taman Xixi. Jumlah pelancong ditetapkan hanya kira-kira 6000 orang sehari sahaja. Tindakan tersebut bukan sahaja bermanfaat untuk mengurangkan pencemaran yang diakibatkan oleh pergerakan para pelancong, malah mengurangkan pembinaan kemudahan perkhidmatan yang menjejaskan pemandangan alam semula jadi di taman ini bagi menjamin perkembangan secara berterusan persekitaran ekologi Taman Tanah Paya Xixi.  

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China