Cari:
Penjelasan tentang Pengasas Tulisan Braille Bahasa Mandarin Huang Nai
2010-07-28 10:53:04 CRI Cetak
Pengasas tulisan braille bahasa Mandarin Huang Nai dilahirkan pada tahun 1917. Beliau merupakan seorang pakar penyelidikan terkemuka di China tentang isu Jepun, dan pakar pendidikan yang menggunakan tulisan braille.

Huang Nai merupakan anak bongsu kepada Huang Xing, seorang revolusioner China dan mempunyai penglihatan normal ketika kecil. Namun, ketika usianya 17 tahun, matanya terkena bola yang ditendang oleh rakannya semasa beliau bermain bola sepak bersama mereka. Akibatnya retina matanya tercabut. Walaupun mendapat rawatan perubatan yang baik, tetapi segala usaha yang dibuat tidak berkesan. Ini mengakibatkan Huang Nai kehilangan penglihatan di sebelah matanya. Pada umur 19 tahun, Huang Nai pergi ke negeri Jepun untuk melanjutkan pelajaran. Walau bagaimanapun, pada tahun 1938, waktu beliau berumur 21 tahun, Perang Anti-Jepun tercetus, Huang Nai pun pulang ke tanah air untuk ikut sama dalam perjuangan menentang Jepun. Kemudian beliau menyertai revolusi untuk membebaskan negara daripada pemerintahan Parti Koumintang. Sebelum tertubuhnya Republik Rakyat China pada tahun 1949, matanya yang sebelah lagi kena sakit pula. Pada tahun 1950, Zhou Enlai, Perdana Menteri China ketika itu telah menghantarnya ke Moskow, ibu negara bekas Suviet Union untuk mendapatkan rawatan perubatan. Namun usaha itu juga gagal. Dengan itu, Huang Nai terpaksa memulakan cara hidup yang baru sebagai seorang buta.

Walaupun menghadapi kesukaran kerana cacat penglihatan, namun Huang Nai tetap menunjukkan ketabahannya untuk terlibat dalam usaha penyelidikan tentang sistem tulisan braille dalam bahasa Mandarin dengan harapan orang-orang buta di China dapat bekerja dan menjalankan penyelidikan seperti orang biasa dan dapat mengikuti perkembangan zaman. Pada tahun 1953, sistem tulisan braille bahasa Mandarin yang wujud sekarang berjaya dihasilkannya, dan sistem ini diterima oleh masyarakat China serta merta. Pada tahun 1954 pula, majalah pertama Bulanan Orang Buta dengan menggunakan kaedah tulisan yang dicipta oleh Huang Nai ini terbit dengan matlamat untuk meluaskan fikiran dan pengetahuan orang-orang buta. Selepas itu, Badan Penerbitan Braille China pun ditubuhkan. Sebuah agensi penerbitan telah menerbitkan bahan bacaan hanya dengan menggunakan sistem tulisan yang dibina oleh seorang manusia sahaja. Gejala ini tidak pernah berlaku di China.

Huruf Bahasa Mandarin mempunyai intonasi yang berbeza. Maka bahan-bahan bacaan yang menggunakan tulisan braille bahasa Mandarin yang wujud ini sukar difahami kerana tulisan itu tidak mempunyai tanda bunyi. Jadi, Huang Nai pun berazam untuk memperbaiki kaedah penulisan ini agar tulisan braille bahasa Mandarin ini mempunyai intonasi supaya para pengguna dapat membaca dan memahami makna perkataan dengan tepat.

Setelah berusaha selama 20 tahun, Huang Nai mengemukakan Program Huruf Braille dengan Pinyin dalam Bahasa Mandarin pada tahun 1975. Program penulisan ini kemudian terus dilengkapi dan digunakan dalam lingkungan(sektor) yang tertentu. Program ini menggabungkan secara berkesan kaedah tulisan braille yang lazim digunakan di arena antarabangsa dengan ciri-ciri bahasa Mandarin sehingga corak bentuk tulisan huruf braille itu jelas, intonasinya tepat, tandanya tidak rumit, dan mudah untuk dipelajari dan digunakan.

Huang Nai berusaha untuk mengembangkan budaya kerjaya bagi orang buta di China sepanjang hayatnya. Beliau pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China, Naib Pengerusi Persekutuan Orang Kurang Upaya China, Naib Pengerusi Persatuan Orang Buta, Pekak dan Bisu China.

Melalui usaha Huang Nai, nasib beratus-ratus ribu orang buta di China dari beberapa generasi telah berubah. Jumlah pekerja yang bertugas di Badan Penerbitan Braille China meningkat kepada lebih 160 orang sekarang ini daripada hanya beberapa belas orang sahaja pada masa dahulu. Tahap teknik percetakannya juga telah meningkat dengan ketara. Kedua-dua jenis tulisan braille dalam Bahasa Mandarin yang dicipta oleh Huang Nai bukan sahaja digunakan untuk menerbitkan kira-kira 300 jenis bahan bacaan setiap tahun, malah diajarkan di lebih 130 buah sekolah orang buta di seluruh negara. Dalam tempoh 60 tahun yang lalu, jumlah pelajar buta yang menerima pendidikan dengan menggunakan tulisan braille dalam Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah tersebut cukup banyak hingga sukar dikira. Dengan ini, Huang Nai memang wajar dihormati sebagai pakar penyelidik tulisan braille dalam bahasa China, pakar pendidikan orang buta dan ahli kemanusiaan yang terbilang. Huang Nai meninggal dunia pada tahun 2004.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China