Cari:
Penjelasan tentang Hari Mandela
2010-07-28 10:55:22 CRI Cetak
Rakyat Afrika Selatan meraikan "Hari Mandela" pada 18 Julai lalu, sempena hari jadi pejuang anti-aparteid, Nelson Mandela dengan membabitkan diri dalam beberapa program yang memanfaatkan masyarakat.

Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan dalam keluarga seorang ketua suku kaum di Mvezo, sebuah desa kecil di daerah Umtata, ibu kota Transkei, Afrika Selatan pada 18 Julai 1918. Beliau ditetapkan sebagai pewaris kepada ketua suku kaum itu kerana merupakan anak sulung keluarganya. Namun, beliau enggan mentadbir sebuah suku kaum yang tertindas selaku ketua suku kaum itu, sebaliknya bersedia berjuang untuk pembebasan bangsa sebagai seorang askar.

Penglibatan Nelson Mandela dalam politik bermula apabila beliau menyertai pertubuhan Kongres Orang Afrika Afrika Selatan (ANC) pada tahun 1944. Pertubuhan ini melaksanakan perjuangan tanpa kekerasan. Pada tahun 1948, beliau membentuk Liga Pemuda Kongres Orang Afrika Afrika Selatan, dan dilantik sebagai pengerusi pertama pertubuhan tersebut. Pada tahun 1952, Mandela menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif ANC. Pada hujung tahun itu, beliau dilantik menjadi Ketua Sukarelawan Kebangsaan untuk melancarkan Kempen Penentangan yang bertujuan untuk menentang undang-undang yang tidak adil. Pada tahun itu juga, Nelson Mandela bersama mendiang Oliver Tambo, pemimpin anti-apartheid Afrika Selatan, mewujudkan badan ekonomi untuk kaum kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan, dengan matlamat untuk membantu kaum kulit hitam yang dilayan dengan teruk sekali oleh undang-undang bersifat menindas daripada pemerintah yang dikuasai oleh golongan kulit putih. Beliau dijulang tinggi oleh rakyat kulit hitam.

Parti ANC diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville pada tahun 1960, dan Mandela sebagai pemimpinnya ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1961. Namun semangat perjuangannya tidak padam begitu saja. Beliau masih meneruskan perjuangannya dan menjalankan aktiviti bawah tanah untuk menentang aparteid. Umkhonto we Sizwe atau Lembing Kebangsaan (MK), iaitu pasukan tentera parti ANC dibentuk pada tahun 1961 dengan Mandela sebagai pemerintah tertingginya. Di bawah pimpinannya, dia melancarkan sabotaj terhadap pentadbiran dan ekonomi negara. Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan ketenteraan di Algeria dan mengadakan latihan untuk ahli-ahli MK yang lain. Sebaik sahaja kembali, dia terus ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan mengobarkan semangat rakyat untuk memberontak. Dia didakwa bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun pada bulan November 1962. Pada tahun 1964, dia sekali lagi didakwa atas tuduhan melakukan sabotaj dan dipenjarakan seumur hidup. Dalam tempoh 27 tahun di penjara, Mandela tidak pernah mengkompromikan prinsip politiknya walaupun didera dan dianiaya. Pada 11 Februari 1990, pihak berkuasa Afrika Selatan terpaksa akur dan membebaskan semua tahanan politik termasuk Mandela akibat tentangan hebat daripada parti ANC dan tekanan antarabangsa.

Pada bulan Mac 1990, Nelson Mandela dilantik menjadi Naib Pengerusi dan memangku jawatan Pengerusi parti ANC. Kemudian, beliau dipilih menjadi pengerusi parti itu pada 1991. Beliau menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1993 kerana memberikan sumbangan besar kepada usaha untuk menghapuskan dasar diskriminasi di Afrika Selatan. Parti ANC meraih kemenangan dalam pilihan raya pertama yang diadakan di Afrika Selatan pada bulan April 1994, dan pada 10 Mei tahun itu, Nelson Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan. Nelson Mandela meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi ANC pada tahun 1997 dan tidak menyertai kempen pilihan raya presiden pada tahun 1999.

Nelson Mandela meninggalkan harta yang tidak ternilai dari segi rohani kepada Afrika Selatan dengan membantu membebaskan rakyatnya daripada belenggu kebencian. Pada bulan Julai 2009, Mesyuarat Menteri Luar Pergerakan Negara-negara Berkecuali dalam kenyataannya mencadangkan supaya 18 Julai setiap tahun, iaitu sempena hari jadi beliau, disambut sebagai "Hari Mandela". Pada bulan November tahun itu, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi memutuskan 18 Julai setiap tahun sebagai "Hari Antarabangsa Mandela" bermula pada tahun 2010 untuk menghargai sumbangan Nelson Mandela untuk mewujudkan kedamaian dan kebebasan di Afrika Selatan.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China