Cari:
Penjelasan tentang Adat Menghidangkan Teh kepada Tetamu di China
2010-10-25 10:50:35 CRI Cetak
Dalam suratnya kepada kami, Suwito dari Bandung Indonesia memohon untuk diperkenalkan adat menghidangkan teh kepada tetamu di China.

Menghidangkan teh kepada tetamu merupakan adat resam orang China. Orang China menjadikan teh sebagai hadiah dan ufti kepada maharaja bermula pada zaman Dinasti Zhou, iaitu lebih 3 ribu tahun yang lalu dan tradisi menghidangkan teh kepada tetamu sebagai adat bermula pada kira-kira tahun 265 Masihi. Bagi orang China, selain daripada diminum untuk menjaga badan, teh juga dihidangkan kepada tetamu untuk menyatakan rasa hormat, dan juga diminum untuk menghayati estetikanya. Menurut orang China, teh membawa makna "harmoni". Ketika berkumpul dengan keluarga atau kawan-kawan, orang China akan minum teh untuk menghayati keharmonian dan hormat-menghormati. Ini bermakna, jika semua orang saling berbudi bahasa ketika bergaul, masyarakat dapat hidup dengan aman dan sentosa, konflik dan peperangan pula dapat dielakkan.

Pada pandangan orang China, teh perlu dihidangkan kepada tetamu dengan segera apabila mereka tiba. Tuan rumah perlu memastikan jenis teh yang digemari oleh tetamu tersebut terlebih dulu dan boleh juga menyediakan kuih-muih sebelum menghidangkan teh kepada mereka. Untuk menunjukkan kesopanan dan kesantunan, teh tidak boleh dituang terlalu penuh dalam cawan, kira-kira tiga perempat cawan sudah memadai. Air teh yang dihidangkan juga tidak boleh terlalu panas untuk mengelakkan tetamu daripada terlecur. Jika tetamu yang datang itu lebih daripada seorang, air teh dalam semua cawan yang dihidangkan hendaklah sama kepekatannya. Kuih-muih diletakkan di depan tetamu di sebelah kanan, dan cawan pula diletakkan di kanan kuih-muih itu. Yang perlu diberikan perhatian ialah teh itu diangkat dengan tangan kanan dan dihidangkan kepada tetamu dari sebelah kanannya. Jika cawan itu mempunyai tangkai, ia perlu dihalakan ke kanan untuk memudahkan tetamu memegangnya.

Selain tuan rumah, tetamu juga patut bersopan santun. Tetamu hendaklah menerima cawan teh yang dihidangkan oleh tuan rumah dengan dua belah tangan sambil mengucapkan terima kasih. Baik tuan rumah mahupun tetamu, tidak boleh minum teh dengan cepat dan dengan banyak sekali teguk. Sebaliknya, teh hendaklah dinikmati dengan perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit. Jika terdapat daun teh yang terapung di atas air teh, daun teh itu perlu diketepikan dengan tutup cawan atau ditiup dengan mulut. Jangan mengeluarkan daun teh itu dengan tangan dan membuangnya ke lantai. Daun teh itu juga tidak boleh dimakan.   

Selain dihidangkan teh tetamu, teh juga dihidangkan secara percuma kepada orang-orang yang lalu di tempat awam sebagai aktiviti amal. Misalnya di bandar Quanzhou, provinsi Fujian, terdapat dua orang warga emas, seorang bernama Xu Shuizhi yang berusia 68 tahun dan seorang lagi bernama Su Hanmin yang berusia 65 tahun, yang menyediakan teh secara percuma kepada orang-orang yang lalu di persimpangan jalan berhampiran dengan tempat tinggal mereka pada musim panas setiap tahun. Mereka menyediakan teh secara percuma selama kira-kira 4 bulan, iaitu dari Pesta Ketupat hingga musim gugur sejak tahun 1997 lagi. Menurut Su Hanmin, mereka menghidangkan teh kepada orang lain bukan sahaja untuk berbuat amal kebajikan, malah juga untuk latihan bandan.  

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China