Salam. Tahniah kepada saudara seisi keluarga kerana berpeluang melancong ke Tianjin dan Beijing. Bulan November sudah musim sejuk, jadi saudara dinasihatkan bersedia dengan pakaian musim sejuk yang tebal kerana suhu pada waktu itu mungkin turun sehingga di bawah paras beku. Suhu pada awal bulan November diramalkan antara 3 hingga 14 darjah celcius, manakala pada hujung bulan pula antara -4 hingga 6 darjah celcius. Pemandangan memang cukup indah pada waktu itu, tetapi saudara juga perlu berhati-hati dengan cuaca yang begitu sejuk. Diharap saudara membuat persediaan yang secukupnya dan mengkaji ramalan cuaca untuk tarikh lawatan saudara.
Untuk membeli-belah pula, saudara bolehlah ke Silk Street. Silk Street sudah cukup terkenal sebagai tempat untuk para pelancong membeli pakaian, kain sutera, cadar, alas meja dan barang-barang seumpanya, serta barangan tiruan. Ingat, jika ingin membeli di Silk Street, jangan lupa untuk tawar-menawar! Jika saudara ingin membeli barangan berjenama di butik-butik mewah, saudara bolehlah ke pusat membeli-belah di Wangfujing atau Xidan.
Diharap jawapan ini dapat membantu saudara merancang perjalanan. Selamat bercuti!