Cari:
Pandangan Anda Mengenai "Flat Marriage"?
2011-06-29 16:42:58 CRI Cetak

"Flat Marriage" satu frasa yang baru mula digunakan dalam kalangan masyarakat China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Frasa tersebut merujuk kepada perkahwinan tanpa rumah, kereta, cincin, upacara pernikahan, majlis sambutan ataupun bulan madu. Bakal suami isteri cuma perlu membayar 9 yuan RMB untuk mendapat sijil pernikahan di agensi-agensi pendaftaran pernikahan.

"Flat Marriage" dalam bahasa Mandarin disebut "Luo Hun". "Hun" bermaksud perkahwinan, manakala "Luo" bermaksud bogel atau telanjang. Bukan semua "Flat Marriage" perkahwinan 9 yuan sahaja. Konsep ini sebenarnya lahir untuk memberi kebebasan kepada pasangan untuk memilih upacara perkahwinan dan gaya hidup setelah menjadi suami isteri mengikut kemampuan mereka sendiri.

Kalau mengikut tradisi orang China, rumah baru perlu disediakan sebelum pasangan boleh berkahwin. Tetapi tidak semua orang mampu membeli rumah kerana harga rumah mahal sekali sekarang ini. Kebanyakan mereka terpaksa berhutang untuk membeli rumah baru. Ini menjadi tekanan yang besar bagi pasangan yang ingin berkahwin. Selain itu, hutang mungkin menjadi lebih teruk disebabkan upacara perkahwinan yang mewah.

Situasi inilah yang melahirkan konsep "Flat Marriage", perkahwinan tanpa hutang dan kemewahan. "Flat Marriage" lebih mementingkan cinta dan kasih sayang, dan bukan harta benda, kebiasaan, atau pandangan orang lain.

Di China, penyokong "Flat Marriage" kebanyakannya mereka yang berumur antara 20 hingga 35 tahun. Ini termasuklah pekerja kolar putih yang berpendapatan tinggi di bandar raya. Pada pandangan mereka, "saling mencintai paling penting dalam perkahwinan".

Menurut pakar bidang berkenaan, fenomena ini menunjukkan perubahan dalam pemahaman terhadap konsep perkahwinan dalam masyarakat moden. Ini juga pilihan baru bagi setiap individu dalam hubungan cinta dan gaya hidup mereka. Kalau dibandingkan dengan konsep "syarat utama untuk berkahwin adalah rumah dan kereta", "Flat Marriage" mungkin cara yang perlu lebih disokong.

Walaupun semakin popular, namun tidak semua orang menyokong "Flat Marriage" sebab tidak boleh dinafikan harta benda unsur yang penting dalam perkahwinan. Liu Rui yang sudah lebih 30 tahun umurnya masih belum berkahwin dengan teman wanitanya. Menurutnya, beliau tidak akan memilih "Flat Marriage" sebab walaupun cinta lebih penting daripada harta benda, tapi kalau tiada asas ekonomi yang kukuh, cinta dan kebahagiaan di masa hadapan kurang terjamin. Ini hakikatnya. Jadi, beliau akan menyelesaikan dahulu masalah rumah, barulah uruskan hal perkahwinan.

Dapatan satu soal selidik menerusi laman web menunjukkan lebih 43% menyokong "Flat Marriage", manakala 47% pula menolak. Menurut para penyokong, mereka yang menganggap rumah dan kereta sebagai syarat wajib perkahwinan sudah salah tanggapan terhadap kebahagiaan rumah tangga. Manakala para penentang pula berpendapat, "Flat Marriage" sebenarnya cuma satu cara untuk melarikan diri dari realiti hidup, iaitu walaupun harta benda bukanlah segala-galanya, tetapi tetap penting demi kesejahteraan hidup berumah tangga.

Apakah pandangan anda mengenai cara "Flat Marriage"?

Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan "Suara Sutera" pada 13 July nanti. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China