Cari:
Farah: Kisah lemang dan Hari Raya
2011-08-30 16:15:30 CRI Cetak

Hari Raya disambut secara besar-besaran oleh umat Islam di seluruh dunia.Umat Islam di Malaysia juga tidak terkecuali. Persiapan menyambut hari lebaran biasanya dibuat sebelum ketibaannya lagi.Ada yang membersih dan mengecat rumah, ada yang mengganti langsir, ada juga yang memasang pelita atau lampu raya.

Kalau di Malaysia, bila namanya Hari Raya, lemang, ketupat dan rending itu tidak boleh tidak ada. Kalau ada yang pandai dan ada kelapangan untuk membuat lemang dan menganyam ketupat sendiri, saya rasa itu memangcukup hebatlah.Kami sekeluarga biasanya mencari yang sudah siap sahaja.


buluh yang pelbagai saiz

Ketupat dan rendang sudah biasa dinikmati sepanjang tahun, tetapi lemang itu biasanya dimakan pada Hari Raya. Sejak kecil lagi saya memang senang terpesona melihat orang membuat lemang.

Daripada langkah pertama iaitu memilih batang buluh yang sesuai dan mencucinya, sehinggalah ke langkah yang terakhir iaitu mengeringkan lemang yang hampir masak itu dengan bara yang menyala, proses membuat lemang tidak mudah.Kadang-kadang ada lemang yang masih berberas setelah dibelah. Lemang begini tidak boleh dimakan.Walaupun lain orang lain seleranya, tapi semua tentu setuju, lemang yang sedap itu mesti cukup masak pulutnya dan mesti cukup lemaknya. Kalau bukan 'pakar', memang susah nak hasilkan lemang yang 'sempurna'.


lemang sedang dikeringkan

Masa saya masih kecil, ada seorang 'pakar' yang berniaga berhampiran rumah saya. Setiap tahun kami akan membeli puluhan batang lemangnya. Tetapi beberapa tahun yang lalu, 'pakar' tersebut memilih untuk bersara lalu menutup gerainya. Sejak itulah kami bagai layang-layang putus tali, terpaksalah mencari tukang lemang yang baru.


lemang yang cukup lembut dan lemaknya

Tahun ini, seperti tahun lalu, kami mula mencuba-cuba sampel daripada gerai-gerai yang berlainan beberapa hari sebelum Hari Raya. Yang mana yang didapati enak, yang itulah yang akan kami borong.

Nasib baiklah ditemui lemang yang enak di satu gerai yang baru dibuka. Dapatlah kami berlemang tahun ini. Bila ditanya oleh rakan saya yang berasal dari negara Barat, "apa itu lemang, dan mengapa begitu sekali obsesi?"

Jawapan saya, "Bagi saya, lemang itu tanda Raya."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China