Adakah wajah amat penting? Berapa pentingkah paras rupa dan bentuk badan sebenarnya? Untuk menjawab soalan ini, sudah tentulah ada dua pandangan yang berlainan.
Bagi mereka yang menentang idea bahawa "paras rupa menentukan nasib seseorang", budi bahasa, taraf pendidikan dan unsur-unsur dalaman seseorang dianggap lebih penting daripada wajah luarannya.
Manakala bagi mereka yang menyokong konsep "wajah luar adalah segala-galanya" juga ada sebabnya. Manusia makhluk yang bersifat visual. Kita tidak boleh menafikan mereka yang paras rupanya cantik lebih menarik perhatian terutamanya sewaktu pertemuan buat kali pertama.
Menurut penyelidikan, mereka yang paras rupanya lebih menarik memang berkelebihan contohnya seperti dalam temu duga kerja. Walaupun belum terdapat asas dari segi sains untuk membuktikan paras rupa berkait rapat dengan kebahagiaan hidup, tetapi nampaknya lebih ramai orang percaya bahawa kebahagiaan dan kegembiraan lebih mudah dikecapi oleh mereka yang cantik paras rupanya
Pada zaman dahulu, sesiapa yang tidak berpuas hati dengan paras rupanya terpaksa menerima sahaja nasibnya kerana wajah tidak mungkin diubahkan. Namun, pada zaman yang serba moden ini situasi ini sudah berubah. Teknologi yang semakin canggih menyediakan peluang "menjadi cantik" kepada setiap manusia. Dengan itulah wujudnya "pembedahan plastik" dan para peminatnya.
Sebenarnya pada mulanya "pembedahan plastik" bertujuan memenuhi keperluan mereka yang cacat anggota badan seperti kanak-kanak yang lahir dengan bibir sumbing (harelip) atau mangsa kemalangan dan kebakaran. Namun dengan beransur-ansur "pembedahan plastik" sudah menjadi saluran utama bagi orang dewasa untuk merealisasikan cita-cita menjadi lebih cantik atau lebih kurus, bahkan lebih tinggi.
Sebut tentang "pembedahan plastik", mungkin dengan segeranya kita terfikirkan satu nama yang cukup tersohor iaitu bintang pop Michael Jackson yang sudah banyak kali menerima pembedahan plastik sehingga dipercayai sudah ketagihan.
Semangat kita untuk mengejar kecantikan kadang-kadang menjadikan kita buta kepada risiko pembedahan plastik. Sebenarnya kes-kes kegagalan pembedahan plastik agak kerap berlaku bahkan banyak nyawa yang sudah melayang. Jadi bolehlah dikatakan bahawa pembedahan plastik adalah "pedang bermata dua". Itulah pengorbanan demi kecantikan.
Apakah pandangan anda mengenai "pembedahan plastik"? Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 2 November nanti. Anda dialu-alukan ikut serta perbincangan tersebut. Mereka yang sudi berkongsi pendapat akan mendapat hadiah. Jangan lupa menulis nama dan alamat penuh anda dalam email, surat atau mesej anda.