Pagi tadi mula mengemas beg nak berangkat ke Yinchuan pula selepas ni. Menyesal bawa beg kecil. Barang yang dibeli di Bazaar Kashgar dah tidak muat untuk dimasukkan dalam beg. Terkilan kerana bazaar yang mempunyai 9 ribu gerai tu cuma diberi masa sejam untuk membeli-belah.
Bagi wanita yang sifat semula jadinya suka ber'shopping', itu merupakan cabaran. Saya dan wartawan Bernama Kurniawati, bagai nak rak berkejar untuk mencari apa yang menarik untuk dibawa pulang. Hajat yang dipasang dari Beijing untuk membeli Jaket kulit kerana dikatakan murah di sini, tapi tidak jumpa cari.
Bazaar Kashgar, Xinjiang
Akhirnya, kami membeli 3 pasang kasut seorang. Menangis sipenjual, kerana hairan orang Malaysia pandai menawar sehingga dapat harga paling murah. Masa tawar menawar itulah, kami menjadi tumpuan. Rasanya semua pekedai di situ tahu, kami orang Malaysia sebab semua bertanya dari mana datangnya dua wanita tu, walaupun tidak dapat berbahasa Mandarin dengan baik tapi kira boleh difahami juga.
Masyarakat Uygur sibuk membeli belah menjelang Adil Adha di Bazaar Kashgar
Semasa bersarapan tadi, timbul cerita mengenai kopi. Rupanya ramai wartawan Malaysia dan Indonesia 'terkena' dengan kopi di hotel yang kami menginap. Hampir semuanya terminum kopi bergaram. Sejak hari pertama, mereka tersilap mengambil garam yang disangka gula kerana mangkuk garam tu diletakkan bersebelahan dengan teko air kopi! Tapi masuk hari terakhir, semuanya tersenyum manis kerana dapat bezakan antara garam dan gula!
Roti nang, makanan tradisional etnik Uygur
Ketika menaiki lif, saya disapa oleh seorang lelaki Inggeris, bertanyakan adakah kami dari Malaysia? David yang bekerja di Kedutaan Australia di Beijing berkata, dia faham Bahasa Melayukerana pernah bekerja di Singapura tetapi tidak boleh bertutur. Kami memberitahu akan ke Yinchuan, beliau dengan bangganya menceritakan pengalamannya di sana. Katanya, Yinchuan mempunyai budaya yang kaya dan terdapat banyak tempat bersejarah. Yinchuan merupakan ibunegeri Wilyah Autonomi Etnik Hui Ningxia memang cantik, terletak di barat Sungai Kuning dan Timur Gunung Helan. Moh kita ke sana!!
Selamat Tinggal Kashgar. Kami pasti kembali!