Cari:
Noriani: Bersinarnya Syiar Islam di Ningxia
2011-11-07 13:23:26 CRI Cetak

Berada ditengah-tengah masyarakat Islam keturunan etnik Hui di Ningxia, kita dapat merasakan betapa gigihnya masyarakat ini menyebarluas syiar Islam di sini. Mereka mungkin mewakili hanya 36 peratus daripada keseluruhan lebih 6.3 juta rakyat di Ningxia tetapi banyak sumbangan sudah dapat dilihat. Daripada mengembangkan industri produk dan makanan Halal hingga Ningxia bakal menjadi Hab halal di China dan luar Negara. Kini sebuah institusi berdiri gah untuk mengembangkan Islam di Ningxia. Itu cukup membanggakan sesiapa yang datang ke sini.


Dewan Emas lambang sinar Islam di Ningxia

Walaupun menggigil kesejukan dengan suhu di bawah 6 darjah selsius diikuti dengan hujan renyai sepanjang hari, Program Kembara Muslim China 2011 tetap diteruskan. Hari ini Program bermula dengan lawatan ke Masjid ke lima tertua di China dan ke 46 paling terkenal di dunia, Masjid Najiahu. Menurut imam di sini, Najiahu bermakna Kampung Keluarga Na. Sebab itulah nama penduduk di sini bermula dengan Na. Ada 5 ribu orang diperkampungan ini. Dilihat dari senibina masjid ini, ternyata ia telah melalui proses pembaikpulih berkali-kali dan projek memperluas ruang Masjid sedang dibuat sejajar dengan perkembangan serta tuntutan semasa. Masjid masih mengekalkan identiti sepenuhnya senibina masyarakat China tanpa dipengaruhi unsur Arab. Terdapat 10 orang imam yang turut mengendalikan kelas bimbingan agama.


Masjid Najiahu kekalkan senibina China

Dikatakan ada dalam kalangan masyarakat etnik Hui ini berketurunan Saidina Ali iaitu menantu kepada Rasulullah S.A.W. Keturunan ke 28 mengikut salasilah yang dipaparkan dalam Pusat Kebudayaan Etnik Hui di Yinchuan ini. Bahan sejarah itu antara ratusan bukti yang dipamerkan untuk pengunjung yang ingin mengetahui selok belok perkembangan Islam di sini, perjalanan penyebaran agama Islam melalui Laluan Sutera dan hubungan Etnik Hui dengan dunia Islam menerusi perdagangan. Disamping itu, budaya dan adat resam serta pakaian turut dipaparkan.

Turut dipamerkan pelbagai jenis Al-Quran yang ditulis tangan, di atas kulit lembu sehinggalah yang bertinta emas.Kalau sesiapa mahu menguji pembacaan secara penglihatan mikro, bolehlah cuba membaca Alquran paling kecil di dunia yang terdapat di Pusat ini. Beratnya 3.9 miligram, panjangnya 23 cm, lebarnya 17 cm dan tebalnya 11 cm.

Satu lagi Al-Quran paling mahal yang dipamerkan, bertinta emas dengan pelbagai warna yang bernilai RMB180 juta . Dikatakan proses membuat Quran ini dibuat di awal Dinasti Ming dan selesai semasa Dinasti Yuan. Setiap helai Quran ini bernilai USD8 ribu.


Al-quran bernilai RMB180 juta

Rasullullah S.A.W pernah bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China'. Sabda itu turut terpampang di galeri ini. Galeri ini pernah dikunjungi oleh Pemimpin Malaysia termasuk Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan yang terbaru sekali Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 20 April tahun ini.

Galeri ini turut memaparkan kisah pelayaran bersejarah Laksamana Cheng Ho. Dilahirkan pada tahun 1371 di Zaman Dinasti Ming. Pelayaran Laksamana Cheng Ho memberi sumbangan besar kepada hubungan China dan Negara luar dalam sejarah pelayaran dunia serta memperluaskan hubungan politik, ekonomi dan budaya masyarakat china.

Salah seorang sahabat saya dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Abdul Ghani Abu mengaku mempunyai talian persaudaraan dengan Laksamana Cheng Ho. Atau mungkin dimaksudkan pengusaha restoran Laksamana Cheng Ho yang sekarang ini begitu popular di Malaysia yang turut diusahakan oleh penyanyi rock terkenal, Amy Search?


Penulis bersama patung Laksamana Cheng Ho di Yinchuan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China