Ungkapan "Lin Zhong Guan Huai" dalam bahasa Mandarin bermaksud memberi perhatian kepada orang berusia dan pesakit teruk yang berada di akhir hayatnya. Konsepnya ialah, walaupun mereka hampir meninggal dunia, tetapi mereka masih berhak hidup dengan selesa dan wajib diberi perhatian masyarakat.
Topik yang cukup berat ini telah membuat kita berfikir semula bagaimana menghabiskan saat-saat terakhir dalam hayat kita, dan bagaimana pula menjaga mereka yang bakal meninggal dunia dengan cara yang lebih menghormati mereka dan memberi mereka peluang untuk hidup dengan lebih berkualiti?
Penjagaan orang tua atau pesakit hampir meninggal dunia sepatutnya seiring dengan kemajuan perubatan moden. Pada penghujung abad lalu, cabang baharu dalam ilmu perubatan moden menjadikan "Lin Zhong Guan Huai" tumpuan pengajian dan penyelidikan beberapa negara maju. Mereka berusaha untuk memperbaiki kualiti hidup pesakit yang sudah di akhir hayat dan meredakan sebarang kesengsaraan. Misalnya beberapa negara Eropah telah membenarkan pemberian ubat anodin kuat seperti Sauteralgyl yang tidak terhad kepada pesakit-pesakit tertentu.
Sebenarnya konsep "Lin Zhong Guan Huai" lahir di Britain. Pada tahun 1967, agensi menjaga orang yang hampir meninggal yang pertama di dunia iaitu Haven St. Cristo ditubuhkan di negara itu. Setelah itu, semakin banyak negara mengikut jejak Britain. Pertubuhan seumpama ini ditubuhkan di A.S. pada tahun 1977, manakala pusat pengajian penjagaan pesakit hampir meinggal dunia kerjasama China-A.S. dibina di Akademi Perubatan Tianjin pada tahun 1988. Pada tahun yang sama, agensi seumpama ini telah ditubuhkan di Shanghai oleh Suruhanjaya Pengurusan Pesara bandar Shanghai.
Sektor ini masih berada pada tahap awal di tanah besar China. Menurut statistik, terdapat hanya 150 buah agensi di seluruh China. Namun pada waktu yang sama, keperluannya semakin meningkat disebabkan jumlah penduduk tua yang semakin ramai di China. Selain itu, menjaga orang tua terutamanya orang tua yang menghidap pelbagai jenis penyakit memerlukan taraf kemudahan dan tenaga manusia yang lebih tinggi. Ini juga telah memberi cabaran besar terhadap sektor perubatan China, baik perubatan fizikal mahupun psikologi.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 6 Jun 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn