Baru-baru ini, Kementerian Sumber Tenaga Manusia dan Kebajikan Sosial China telah mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan kajian untuk menentukan sama ada umur bersara patut dilanjutkan berdasarkan keadaan semasa masyarakat China.
Dalam soal selidik di laman web Renmin, setakat 12 Jun lalu, 93.9% pengguna internet menentang pelanjutan umur bersara, manakala 2.4% menyokong. Bagi yang menentang, pelanjutan tersebut akan meningkatkan tekanan terhadap pasaran untuk menyediakan peluang pekerjaan. Pihak yang menyokong pula menegaskan bahawa jangka hayat manusia semakin meningkat dan pencen semakin berkurangan, kedua-dua isu ini memaksa pelanjutan umur bersara.
Menurut statistik kementerian tersebut, jarang sekali terdapat defisit dalam tabung pencen tahunan. Terdapat tiga sumber tabung pencen, iaitu caruman majikan dan individu, peruntukan kewangan kerajaan serta faedah. Caruman majikan dan individu adalah bahagian terbesar, iaitu lebih kurang 80%.
Ketua Pengarah Pusat Kebajikan Sosial Dunia Akademi Sains Sosial China, Prof. Zheng Bingwen telah mengira kesan pelanjutan umur bersara terhadap tabung pencen. Menurutnya, sekiranya umur bersara dilanjutkan satu tahun, dana dalam tabung pencen akan bertambah sebanyak RMB 4 bilion, manakala perbelanjaan akan berkurang sebanyak RMB 16 bilion. Namun ini hasil kiraan beberapa tahun yang lalu.
Pada masa yang sama, beberapa masalah menunjukkan bahawa langkah yang sepatutnya diambil bukanlah melanjutkan umur bersara, tetapi meningkatkan keupayaan pentadbiran.
Pertama, lebih 90% wang pencen disimpan dalam bank, kadar faedah purata tidak sampai 2% setahun, tetapi kadar inflasi pada tahun 2001 hingga 2008 ialah 2.2%, jadi faedahnya negatif. Menurut kiraan kasar, wang pencen akan kerugian faedah sebanyak RMB 600-700 bilion dalam tempoh 12 tahun.
Kedua, kaedah pengurusan wang pencen sekarang ini memberi peluang kepada jenayah rasuah. Jadi menurut pandangan Prof. Zheng, penyempurnaan sistem pengawalseliaan tabung pencen dan peningkatan kadar taburan insurans pencen dalam golongan bersara adalah lebih utama.
Umur bersara di tanah besar China sekarang ini ditetapkan pada tahun 1950-an. Biasanya, lelaki akan bersara pada umur 60 tahun, manakala wanita pada umur 50 tahun. Walaupun jangka hayat manusia dikatakan sudah meningkat dalam zaman yang serba moden ini, tetapi jangka hayat orang China tidak meningkat besar. Tambahan pula, jumlah orang yang meminta untuk bersara awal adalah ramai, maka pelanjutan umur bersara mungkin tidak akan membawa apa-apa perubahan besar.
Topik ini akan dibincangkan dalam ruangan Suara Sutera pada 4 July 2012 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan ikut serta dalam perbualan mengenai topik tersebut. Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn